Jumaat, 13 Mei 2016

DI MANA NAJIB JIKA TIADA KUASA?

shahbudindotcom

 

 
 
Antara yang disebut Najib Razak dalam ucapannya sempena sambutan ke 70 ulangtahun UMNO semalam ialah "kalau takdirnya satu hari saya berselisih faham  dengan pengganti saya, saya tidak akan keluar UMNO."

Wah...nampak hebat bunyinya!!

Lafaz itu bukan saja sebagai sindiran kepada Tun Mahathir Mohamad, tetapi juga menunjukkan keinginan Najib untuk memperlihatkan kononnya beliau akan menjadi seorang bekas Perdana Menteri yang baik, tidak lagi campurtangan apabila tidak lagi mempunyai kuasa dan akan setia kepada UMNO?

Apakah jaminan kata-katanya hari ini akan dikotakan di kemudian hari?

Bolehkah kita percaya begitu saja kata-kata manisnya itu?

Bila berkata demikian, bila sebenarnya beliau mahu menyerahkan kuasa kepada penggantinya atau semuanya sekadar "sembang kencang"  saja?

Tetapi sebelum itu, yang harus ditanya kepada Najib ialah mampukah beliau berselisih faham dengan penggantinya jika beliau tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa?

Dengan pelbagai isu dan skandal kewangan membelit dirinya ketika sedang berkuasa, jika tidak lagi berkuasa, beranikah beliau meninggikan suaranya kepada sesiapa?

Tidakkah nanti jika bersuara sedikit saja pun, beliau akan ditempelak balik oleh pemimpin dan ahli UMNO sendiri yang sudah ada "tauke baru"  berkaitan isu 1MDB, wang ribu-ribu juta dalam akaun peribadinya, kemewahan Rosmah dan macam-macam lagi?

Maka, bukankah berdiam diri, akur dan tidak campur sama-sekali adalah pilihan paling selamat baginya?

Itu kalau UMNO masih berkuasa, tetapi kalau sudah jatuh ke tangan parti lain, apakah beliau masih berani mengangkat mukanya walau sedikit pun?

Lagi pun, dengan imej dan wajah kepimpinannya yang bagaikan "langit dan bumi"  dengan Tun Mahathir, siapakah yang sudi mendengar kata-kata Najib setelah tidak lagi menjadi Perdana Menteri?

Soalan cepumas yang patut ditanya juga kepada Najib ialah di mana beliau nanti jika tidak lagi menjadi Perdana Menteri?

Masih tinggal di Malaysia, bermastautin di luar negara atau mungkinkah Perdana Menteri baru atau kerajaan baru akan mendakwanya dengan pelbagai siri pertuduhan yang akhirnya boleh membawanya  ke penjara?

Hakikatnya, dengan risiko sedemikian, apabila tidak berkuasa nanti, Najib memang tidak mampu berbuat apa-apa pun, jauh sekali untuk berselisih faham dengan penggantinya atau menyebut mahu keluar daripada UMNO.

Boleh jadi juga beliau tidak lagi dikenang selepas kehilangan kuasa, bahkan mungkin tidak ada yang sudi mahu mengabadikan nama Najib pada jalan, kampung, balairaya atau seumpamanya seperti bekas-bekas Perdana Menteri sebelumnya atau dijadikan nama bayi yang baru dilahirkan.

Hanya pemimpin yang berani, kukuh kewibawan dan tiada skandal peribadi seperti Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj, Tun Hussein Onn dan Tun Mahathir saja yang berani berbuat demikian.

Malah, beliau akan lebih diam daripada Tun Abdullah Badawi bila sudah kehilangan kuasanya nanti.


Tiada ulasan: