Rabu, 25 Mei 2016

Di mana Muhyiddin Yassin?

Oleh Fakhrurrazi Rashid


Tokoh totok UMNO yang kuat menentang rakan partinya kini seolah-olah terdiam daripada merancakkan bukti ketirisan bekas ketuanya dalam jemaah menteri.
 
 
muhyiddin-yassin



Warkah Datuk Seri Anwar Ibrahim menggamatkan ruang awam yang asyik meletakkan harapan kepada Deklarasi Rakyat (DR) bagi menumbangkan Datuk Seri Najib Razak.

Ramai yang membenarkan kezaliman dan kelicikan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membawa gerakan ini melalui warkah Anwar. Namun, di pihak sejuta rakyat yang menandatangani DR masih mencari solusi dan keyakinan untuk meneruskan idea DR walaupun warkah Anwar seolah-olah mencabar kemampuan gerakan tersebut.

DR menerima pelbagai kritikan apabila terdapat pimpinan yang lantang mengkritik mahakuasa hari ini turut serta dalam DR. Pada kala ramai pihak mempersoalkan kredibiliti Mahathir dalam DR dan debat memilih gerakan lebih efektif untuk menjatuhkan Najib, timbul satu persoalan. Di mana Tan Sri Muhyiddin Yassin?

Tokoh totok UMNO yang kuat menentang rakan partinya kini seolah-olah terdiam daripada merancakkan bukti ketirisan bekas ketuanya dalam jemaah menteri. Kini, bekas timbalan perdana menteri itu masih gagal menimbulkan keyakinan rakyat untuk meletakkan kesanggupan merubah Malaysia ke arah lebih baik. Masalah utama sekali apabila Muhyiddin tidak hadir ke Parlimen.

Muhyiddin tiada di Parlimen

Persidangan Parlimen mesyuarat kedua bagi penggal keempat bermula pada 16 Mei 2016. Sesi Dewan Rakyat yang singkat selama lapan hari ini merupakan satu peluang terbaik kepada ahli Parlimen, termasuk Muhyiddin membawa isu negara dan rakyat untuk dibahaskan.

Malah desakan untuk menyemak, mengimbangi dan mempersoalkan urus tadbir kerajaan boleh dilakukan di Dewan Rakyat apabila masalah UMNO/BN semakin menggusarkan orang awam.

Malangnya, Muhyiddin masih gagal menghadirkan diri ke Parlimen untuk membahaskan masalah kerajaan di bawah Najib. Tindakan ini merupakan bukti Muhyiddin masih tidak berani mengkritik partinya dan wakil rakyat BN secara langsung di Parlimen.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga tidak memberikan soalan lisan dan bukan lisan pada sesi Parlimen setakat ini. Bagaimana seorang ahli Parlimen dan bekas TPM gagal mengemukakan bukti skandal yang diketahui di Parlimen?

Ketidakhadiran Muhyiddin di Parlimen jelas memperlihatkan pemimpin UMNO ini tidak mempunyai perbezaan dengan Najib yang enggan hadir ke Parlimen bagi menjawab soalan ahli Parlimen pembangkang.

Malah, Muhyiddin pula gagal mengemukakan bukti penyelewengan dan skandal 1MDB yang semakin merunsingkan rakyat di Parlimen. Dia tidak boleh memberi alasan pemecatannya sebagai TPM membolehkan dirinya tidak hadir ke Parlimen untuk bangkit mempersoalkan kelemahan kerajaan.

Berbeza pula dengan Tony Abbott, bekas perdana menteri Australia yang hadir ke Parlimen walaupun dipecat partinya dan jawatannya digantikan dengan Malcolm Turnbull pada September 2015. Tindakan Tony itu bukti betapa penting seorang ahli Parlimen hadir bagi menjalankan tugasnya walaupun dipecat daripada kerajaan.

Sikap tidak hadir di Parlimen ini memberi kesan negatif kepada integriti dan amanah Muhyiddin yang perlu hadir untuk mewakili kawasan Pagoh membahaskan isu rakyat. Di sini terlihat kelemahan Muhyiddin yang tidak mempunyai pengaruh di dalam Dewan Rakyat, terutamanya BNBBC.

Muhyiddin perlu belajar daripada 150 ahli Parlimen backbenchers parti Konservatif Britain yang memberi tekanan hebat di House of Commons kepada David Cameron melalui undi tidak percaya sekiranya Britain keluar (Brexit) daripada Kesatuan Eropah (EU). David dikritik hebat oleh ahli partinya yang melihat kempen ini tidak mendatangkan keuntungan kepada Britain.

Bagaimanapun, sokongan ahli Parlimen BN dilihat tidak berganjak untuk menyokong Najib walaupun pelbagai pendedahan dilakukan. Wakil rakyat BN dingin dengan tindakan Muhyiddin dan akhirnya tujuan menjatuhkan Najib bertambah sukar tanpa sokongan ahli Parlimen UMNO/BN.

Apa yang boleh dilakukan Muhyiddin dalam Parlimen?

Sistem Parlimen Malaysia masih di tahap semi-autoritarian di mana semua urusan Parlimen berpihak kepada parti pemerintah tanpa laluan yang mudah untuk parti pembangkang. Amalan ini boleh diperbaharui sekiranya Muhyiddin mempunyai ‘political willing’ bagi memberi tekanan kepada perdana menteri.

Muhyiddin perlu membawa usul undi tidak percaya kepada perdana menteri di Parlimen. Perkara ini bersesuaian dengan hujah yang dibawa Dr Azmi Sharom yang menegaskan ahli Parlimen mempunyai kuasa untuk menyingkirkan perdana menteri.

Namun, perkara ini mungkin bercanggah dengan amalan parti UMNO/BN. Tindakan ini berperlembagaan dan tidak bercanggah dengan amalan sistem demokrasi berparlimen.

Usul undi tidak percaya yang dibawa pihak pembangkang tidak pernah dibahaskan di Dewan Rakyat walaupun usul tersebut diterima speaker Dewan Rakyat. Mungkin, usul ini boleh dibahaskan sekiranya dibawa seorang ahli Parlimen UMNO seperti Muhyiddin dengan sokongan beberapa ahli Parlimen BN.

Jika perkara ini berjaya dibawa Muhyiddin, maka terdapat momentum perubahan yang cukup signifikan kepada sistem demokrasi berparlimen Malaysia.

Tidak bermanfaat sekiranya DR hanya menumpukan objektif menjatuhkan Najib di ruang awam tanpa usaha melawan dan membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat. Muhyiddin perlu tahu dia mempunyai sokongan daripada pihak pembangkang dan sejuta tandatangan sebagai sokongan rakyat untuk menjayakan usul undi tidak percaya.

Apa seterusnya?

Muhyiddin wajib hadir pada sidang Parlimen akan datang ketika belanjawan negara dibentangkan. Peluang ini perlu digunakan oleh Muhyiddin untuk meneliti belanjawan negara yang dilihat semakin menyusahkan rakyat selepas Bajet 2016 dibentangkan.

Saya fikir, Muhyiddin tidak akan hadir persidangan singkat Dewan Rakyat kali ini. Jika dia masih tidak hadir untuk persidangan parlimen akan datang, maka dia tidak layak menjadi ahli Parlimen lagi dan saya fikir lebih baik UMNO memecatnya daripada parti.

Malah, saya tidak fikir Muhyiddin akan menjadi calon BN di Pagoh pada PRU14 selepas pengkhianatan yang dibuat kepada parti. Persoalannya, mampukah Muhyiddin membawa usul undi tidak percaya perdana menteri di Parlimen?

*  Oleh Fakhrurrazi Rashid ialah pembaca FMT

Tiada ulasan: