Khamis, 12 Mei 2016

'Deritanya digantung FAM'

N Faizal Ghazali

 


Tahun ini genap 21 tahun Matlan Marjan dibelenggu hukuman gantung seumur hidup oleh badan induk bola sepak kerana terlibat dalam skandal rasuah pada 1990-an.

Bekas pemain kebangsaan dan Sabah itu mengakui hidup sebagai pesalah rasuah amat perit, apa lagi dengan keadaannya yang tidak boleh dipisahkan dengan bola sepak.

Ketika biasanya bekas pemain berpeluang menjadi jurulatih, kini di usia 48 tahun Matlan tetap tidak boleh sama sekali terlibat dengan aktiviti bola sepak.

Hidup memang sukar - akui Matlan - terutama berdepan dengan persepsi umum yang biasanya bersikap negatif.

"Kadang-kadang saya nak buat perlawanan persabahatan pun tak boleh. Ada aduan kepada pihak yang berkenaan dan program itu disekat," katanya kepada Malaysiakini.

Suatu ketika dulu nama Matlan memang sering disebut-sebut peminat bola sepak. Kelibatnya yang pantas di atas padang memang sering menyukarkan pihak lawan.

Namun ketika negara digemparkan dengan skandal rasuah bola sepak, nama Matlan tersenarai sebagai suspek.

Siasatan kemudian mendapati ada bukti untuk dikaitkan aktiviti itu dengan Matlan. Dia kemudian dilarang terlibat dalam sebarang aktiviti bola sepak - di semua peringkat - selama-lamanya mulai 1995.

Lima lagi pemain Sabah yang turut menerima nasib seperti Matlan ialah Matusin Bowie, Junaidy Tuah, Gerald Mojiliu, G Raveychandran dan Charles Tindi.
Peluang sekali lagi

Walaupun Isnin lalu FAM memberi pengampunan kepada 78 bekas pemain yang terlibat dalam skandal itu, mereka berenam terkecuali.

Nasib mereka kini bergantung kepada keputusan Persekutuan Bola Sepak Dunia (Fifa) selepas ia dirujuk FAM.

Kata Matlan pengecualian daripada pengampunan itu mengecewakannya.

"Seolah-olah manusia sememangnya tidak boleh berubah sampai mati sedangkan kalau seseorang penjenayah dihukum penjara seumur hidup pun, pada suatu ketika dia akan dibebaskan juga," ujarnya.

Kini, Matlan mengharap ada sinar untuknya, atau sekurang-kurang diberi peluang sekali lagi dan dibebaskan daripada belenggu hukuman gantung berkenaan.

"Sekurang-kurangnya maruah kami dapat dikembalikan. Sama ada untuk terus berada dalam bola sepak atau sebaliknya itu perkara lain," katanya.

Menceritakan hidupnya kini Matlan berkata, hanya individu yang terhukum dapat memahami sebenar-benarnya apa yang dirasa.

"Kami sudah rasa. Kalau nak tahu bagaimana susahnya hidup selepas digantung, kami boleh cerita. Kami akan jelaskan supaya pemain sekarang jangan buat begini atau begitu.

"Pada masa sama, nasihat dan pengajaran kami dapat dikongsi dengan pemain sekarang," katanya.
Sementara menunggu nasibnya ditentukan Fifa Matlan dan rakan-rakannya hanya mampu berdoa.

"Apapun saya ucapkan terima kasih kepada FAM atas usaha yang diambil. Saya berharap dibebaskan daripada penggantungan dan diberi peluang sekali lagi," katanya.

Tiada ulasan: