Selasa, 10 Mei 2016

Deklarasi Rakyat capai 1 juta tandatangan, dakwa Mukhriz

MALAYSIAKINI




Bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir hari ini mendakwa Deklarasi Rakyat yang dipimpin bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad telah berjaya mengumpulkan 1 juta tandatangan seperti yang disasarkan.

Dalam catatan akaun Facebook miliknya atas nama Mukhriz Mahathir FC, beliau menyatakan rasa kesyukuran atas pencapaian itu yang disifatkan sebagai hasil kerja keras tidak mengira siang dan malam.

"Alhamdullilah.. air mata.. setelah siang dan malam bekerja keras mengumpul tandatangan Deklarasi Rakyat.

"Akhirnya mencecah ke angka 1 juta, tahniah pada semua yang terlibat dan memberi sokongan selama ini," jelasnya dalam catatan di media sosial tersebut.

‪Hari ini, sekumpulan sukarelawan muda yang menggelar diri mereka sebagai 'Mahathirisme' menyerahkan 10,000 tandatangan untuk Deklarasi Rakyat kepada Dr Mahathir.

Ketua Perkasa Selangor, Abu Bakar Yahya yang mengiringi kumpulan itu berkata para sukarelawan itu telah mengumpul tandatangan tanpa sebarang bayaran demi rakyat dan kepentingan negara.

Beliau juga mendakwa mereka melakukannya kerana sayang kepada Mahathir.

"Mereka pergi ke setiap warung, pasar malam, supermarket, rumah-rumah kenduri pun ada.

"Nak guna penyerahan (tandatangan) ini sebagai satu kenangan dalam hidup mereka, berhajat menyerahkan sendiri ke tangan Tun dan bergambar sebagai kenangan," kata Abu Bakar lagi.

Deklarasi Rakyat adalah suatu petisyen yang diwujudkan oleh gerakan 'Selamatkan Malaysia' yang bermatlamat untuk mengumpul satu juta tandatangan untuk dikemukakan kepada Majlis Raja-Raja bagi memohon penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Selain Dr Mahathir dan isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Mukhriz, nama-nama besar lain yang menandatangani deklarasi itu ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Dr Ling Liong Sik, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Mustafa Ali, Lim Kit Siang dan Datuk Zaid Ibrahim.

Tiada ulasan: