Jumaat, 13 Mei 2016

DAP hanya sokong calon Pakatan Harapan, Pas bukan ahli


Lim Guan Eng
Lim Guan Eng - Foto Sinar Harian oleh AFIQ RAZALI


GEORGETOWN - DAP menegaskan hanya akan menyokong calon dari Pakatan Harapan untuk dua pilihanraya kecil (PRK) Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

Bagaimanapun, ketika ditanya adakah parti itu akan menyokong calon Pas di dua kawasan itu, Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, parti Islam itu bukan lagi berada dalam Pakatan Harapan.

"Saya tidak ada apa nak komen kerana kedua-dua kawasan ini di Selangor dan Perak. Bagaimanapun, tentu kita akan sokong calon yang diputuskan oleh Pakatan. Pas bukan calon Pakatan.

"Itu sahaja yang saya nak kata, DAP akan tetap sokong calon yang diputuskan Pakatan. Kita akan adakan perbincangan dengan Kak Wan( Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) dan Mat Sabu (Mohamad Sabu), dan yang paling penting, tentu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana kawasan ini dalam kawasan Selangor," katanya kepada media di luar dewan persidangan Dun hari ini.

Guan Eng bagaimanapun enggan mengulas berhubung hasrat Mohamed Azmin ingin Pas kembali semula ke pangkuan Pakatan Harapan selepas kalah teruk di Sarawak.

Pilihanraya kecil akan diadakan di dua kawasan berkenaan selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Muhammad Khairil Anuar Wan Ahmad (BN) dan Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon (BN) maut dalam insiden helikopter terhempas ketika dalam perjalanan ke Sarawak.

Pada Pilihanraya Umum 2013, Wan Muhammad telah mengalahkan calon Pas, Khalil Idham Lim dengan majoriti 1,082 undi manakala Noriah mengekalkan kerusi itu dengan majoriti tipis 399 terhadap calon Pas, Mohamed Saleh M Hussain.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Jun ini sebagai tarikh pilihan raya kedua-dua kerusi dengan tempoh berkempen selama dua minggu.


Tiada ulasan: