Jumaat, 20 Mei 2016

Dakwaan 'Minta Perempuan': Adun DAP Mahu Rafizi Lapor SPRM

MSTAR ONLINE
 
 
Rajiv Rishyakaran
 
 
PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP mahu Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli membuat aduan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan bahawa wang dan seks digunakan dalam urusan kerajaan negeri Selangor.


"Dia sekurang-kurangnya perlu membuat laporan kepada SPRM.

"Ia sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada parti dalam jangka masa pendek, kita tidak boleh menutup rasuah," kata Adun Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran dalam posting di Facebooknya, Khamis.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, dikatakan membuat dakwaan melalui mesej WhatsApp bahawa PKR yang diterajui kerajaan negeri Selangor telah menggunakan wang dan seks dalam urusan pentadbirannya.

Rafizi mendakwa beliau menerima aduan daripada 'orang bona fide' berhubung 'permintaan mendapatkan perempuan' yang dibuat apabila berurusan dengan kerajaan negeri di mana Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali adalah menteri besarnya.

Rafizi berkata ada 'orang' yang datang kepadanya dengan aduan itu dan beliau kini sedang mengumpul semua maklumat dan bukti.

“Semalam saya mendapat laporan dan aduan daripada orang bona fide bahawa selain wang, sekarang ini ada juga permintaan 'perempuan' bila berurusan dengan kerajaan negeri (tidak perlulah saya hurai saudara/i tahu apa yang saya maksudkan).

“Saya bukan kisah sangat mengenai strategi politik. Selama ini tidak pernah sekalipun saya pergi ke SUK sejak sdr. Azmin jadi MB untuk minta atau bincang sesuatu,” Rafizi didakwa berkata demikian dalam kumpulan perbualan WhatsApp 'Solidarity For Anwar'.

The Star cuba untuk menghubungi Rafizi bagi mendapatkan komen berhubung perkara ini.

Tiada ulasan: