Sabtu, 21 Mei 2016

Daftar pengundi muda di Kedah membimbangkan - MB Ahmad Bashah

MALAYSIAKINI


UMNO Kedah menyasarkan 50,000 pengundi baharu didaftarkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), kata Pengerusi Badan Perhubungan parti negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah berkata pendaftaran pengundi baharu terutamanya generasi muda perlu dipergiat bagi memastikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus menerajui kepimpinan negara dan negeri.

"Kita ada senarai pengundi baharu dan kita akan lakukan proses pemutihan bagi mencapai sasaran itu.

Kita juga perlu berkerjasama dengan parti komponen lain BN untuk kekalkan UMNO dan BN sebagai pemerintah kerajaan negeri," katanya pada pelancaran Jentera Gerak Kerja UMNO PRU-14 di Dewan Seri Mentalon, hari ini.

Beliau berkata setakat ini, hanya 13,000 pengundi baharu didaftarkan dan keadaan itu amat membimbangkan pihaknya yang sebelum ini mendaftar kira-kira 80,000 pengundi baharu pada PRU-13.

Menurutnya Wanita UMNO negeri menerusi Program Jalinan Rakyat perlu mengenal pasti sikap pengundi di setiap daerah mengundi bagi memudahkan jentera UMNO melaksanakan tugas.

"Jika kita berjaya selesaikan isu berbangkit, ia dapat menghasilkan sikap positif masyarakat terhadap kita (UMNO) dan mungkin kawasan yang kelabu dapat diputihkan.

"Mungkin ada sebab kenapa mereka tidak sokong kita sebelum ini dan kita perlu baiki kelemahan bagi memastikan UMNO mendapat sokongan daripada rakyat pada PRU akan datang," katanya.

Ahmad Bashah berkata UMNO juga tidak mengabaikan kawasan hitam yang dikuasai oleh pembangkang dan terus berusaha merampasnya daripada pakatan pembangkang.- Bernama

Tiada ulasan: