Selasa, 31 Mei 2016

'Cukuplah Pas dipergunakan dulu'

'Cukuplah Pas dipergunakan dulu'
Ucaptama Nik Abduh pada Muktamar Pemuda Pas di Kelantan Trade Centre, di sini, hari ini. – Foto Sinar Harian oleh FAUZI YUNUS


KOTA BHARU - Pemuda Pas menyarankan pimpinan Pas mengkaji kembali agihan kerusi Dun dan Parlimen yang bakal ditandingi parti Islam itu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, Pas perlu mengambil kembali kerusi yang dipinjamkan kepada PKR dan DAP dalam pilihan raya yang lalu.

"Cukuplah pengalaman lalu menjadi pengajaran di mana tenaga ahli kita 'dipergunakan' oleh rakan-rakan demi mencapai kemenangan, kemudian 'ditinggalkan' begitu sahaja.

"Sekiranya pimpinan ambil langkah berani tanding di kerusi yang selama ini 'dipinjamkan' kepada PKR dan DAP dlm PRU lepas, Pemuda Pas ikrar dan janji untuk ambil seribu satu langkah pastikan kemenangan berpihak kepada Pas," katanya ketika menyampaikan Ucaptama pada Muktamar Pemuda Pas di Kelantan Trade Centre, di sini, hari ini.

Katanya-katanya itu disambut dengan laungan takbir sebanyak tiga kali oleh para perwakilan.

Dalam pada itu, menurutnya pembahagian kerusi itu wajar mengambilkira aspek kekuatan jentera parti di kerusi yang ditandingi disamping pola sokongan pengundi mengikut komposisi umur dan tahap pendidikan.

Beliau juga mengingatkan ahlinya agar bersedia menyambut kedatangan orang-orang Melayu khususnya golongan muda yang sudah berubah tetapi tidak menzahirkan sokongan mereka.

"Mereka sokong Pas tapi belum sedia jadi ahli. Mereka sinis dan cakna perkembangan semasa kerana sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain menerusi Facebook, Twitter, Whatsapp, Instagram dan lain-lain.

"Justeru, Pemuda Pas meraikan hasrat tinggi anak muda yang mahu mendalami sistem politik Islam, evolusi dan penyesuaiannya dalam konteks moden dikembangkan melalui penubuhan sekolah politik di bawah kendalian kita, insya-ALLAH," katanya.

Tambahnya, Pemuda Pas mesti lebih memahami psikologi politik anak muda Melayu di bandar dan pengundi atas pagar dalam memberi kefahaman kepada mereka.

Tiada ulasan: