Selasa, 24 Mei 2016

Ceramah 'Jalan ke Sungai Besar dan Kuala Kangsar' sahkan PAS tanding dua PRK

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menganjurkan ceramah perdana esok berjudul Jalan ke PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar - Beristiqamah hingga Kemenangan, yang  sekaligus menggariskan iltizam parti itu menolak bantahan Pakatan Harapan dan bertanding di kedua-dua kerusi parlimen berkenaan. 
 
Poster mengenai ceramah itu yang akan berlangsung di Dataran Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, Kuala Lumpur, sudah pun viral di media sosial. 
 
Majlis itu akan membariskan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai penceramah utama, di samping Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Abdul Aziz serta Exco Selangor, Zaidy Abdul Talib. 
 
PAS akan mengumumkan calonnya untuk dua kerusi Parlimen berkenaan di ibupejabat, Jumaat ini. Hari penamaan calon adalah 5 Jun manakala 18 Jun ditetapkan sebagai hari mengundi. 
 
Beberapa pemimpin kanan PAS sebelum ini menolak cadangan PKR supaya PAS hanya bersaing di Kuala Kangsar manakala  Pakatan Harapan  bertanding di Sungei Besar demi memastikan saingan satu lawan satu dengan Barisan Nasional. 
 
Bagaimanapun Hadi beberapa kali menegaskan bahawa PAS akan meneruskan tradisi bertanding di dua kerusi berkenaan yang dimenangi BN dengan majoriti kecil pada pilihanraya umum 2013. 
 
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan masih  cuba memujuk PAS bertanding hanya di Kuala Kangsar sahaja. PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) masing-masing mengintai kerusi Sungei Besar. 
 
Ini kerana dua parti komponen PH itu yakin mendapat sokongan pengundi Cina yang merangkumi 25 peratus daripada 33,277 pengundi di kerusi Parlimen berkenaan. 
 
Semalam, Pengarah Strategi PAN Khalid Samad menggesa Azmin untuk menghentikan rundingan dengan PAS, sebaliknya memperlengkapkan persiapan PH untuk bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan. 
 
Noriah Kasnon memenang kerusi Sungai Besar pada PRU 13 dengan majoriti 399 undi.
 
PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar diadakan susulan kematian Noriah dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad dalam nahas helikopter semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak awal bulan ini. 


Tiada ulasan: