Ahad, 29 Mei 2016

Calon BN Kuala Kangsar tidak sertai kempen jejas kemenangan

 
Ini kerana kawasan yang ditandingi itu merupakan kawasan 'panas'.


Ahmad-Atory-Hussain--Datin-Mastura-Mohd-Yazid-


PETALING JAYA : Ketidakhadiran calon BN bagi PRK Parlimen Kuala Kangsar Datin Mastura Mohd Yazid semasa tempoh berkempen boleh menjejaskan kemenangan BN.

Penganalisis Politik Prof Dr Mohd Atory Hussain berkata ini kerana kawasan yang ditandingi itu merupakan kawasan “panas”.

“Kawasan ini kawasan panas. Kalau dia boleh keluar berkempen itu bonus,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Atory berkata BN mencari calon lain untuk bertanding di kawasan tersebut.

“(Tapi) UMNO nampak macam tak ada calon yang lebih sesuai selain isteri dia (bekas Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar),” katanya.

Beliau berkata pencalonan Mastura bertujuan untuk mendapatkan undi simpati daripada pengundi di kawasan tersebut.

“Tapi adakah pengundi simpati? Kita tak tahu. Daripada segi kelayakan saya rasa tak ada masalah. Kalau dia dah popular dari dulu, tak ada masalah..tapi kalau dia tak dikenali susah juga,” katanya.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Mastura yang juga balu Wan Mohammad dipilih sebagai calon BN bagi PRK Kuala Kangsar.

Mastura, 55, menerusi tayangan video berkata beliau tidak dapat menyertai kempen yang dijadual bermula 5 Jun depan kerana masih berada dalam tempoh edah selama empat bulan 10 hari sebagaimana ditetapkan dalam hukum Islam apabila seseorang wanita kematian suami.

Kerusi Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar kosong susulan kematian penyandangnya dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak awal bulan ini.

Tiada ulasan: