Khamis, 5 Mei 2016

Calon: 6 kali p'raya, mana klinik dijanjikan?

MALAYSIAKINI




Selepas tiga kali pilihan raya umum dan tiga kali pilihan raya negeri, seorang calon DAP membangkitkan persoalan di mana klinik ibu dan bayi yang dijanjikan dibina di kawasannya belasan tahun lalu.

Calon DAP Tasik Biru Mordi Bimol berkata, tapak klinik telah dikenal pasti dan diluluskan sejak 2004 lagi tetapi keadaan di Stungkor itu masih seperti hutan.

“Enam kali pilihan raya, janji nak bina Klinik Kesihatan Stungkor – sampai sekarang habuk pun tak ada! Inilah janji kosong ala-BN,” katanya.

Rancangan Pembinaan klinik itu dikatakan bagi menampung susulan infrastruktur di Hospital Daerah Bau yang masih dalam keadaan yang daif dan teruk.

Dalam kenyataan hari ini, Mordi membangkitkan persoalan berapa lama lagi kesihatan penduduk Tasik Biru “dipermainkan dan digadaikan” oleh kerajaan negeri bawah pimpinan Tan Sri Adenan Satem dan BN?

“Adakah semua menteri kabinet, anggota parlimen dan ADUN BN Sarawak akan menghantar anggota keluarga mereka ke Hospital Bau jika memerlukan rawatan dengan keadaan infrastruktur hospital Bau yang begitu kekurangan?

“Jika tidak, mengapa diharapkan rakyat warga Sarawak menghantar ahli keluarga mereka ke sana?” soalnya.

Tasik Biru, dalam kawasan parlimen Mas Gading mempunyai 17,045 pemilih berdaftar. Seramai 68 peratus daripadanya bumiputera bukan Islam, Cina (25 peratus) dan Melayu Melanau (6 peratus).

Mordi akan berdepan calon BN daripada Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDB) Henry Jinep dalam pertembungan dua penjuru.

Dalam pilihan raya negeri 2011, Peter Nansian NGusei (SPDB) mengalahkan calon PKR John Tenewi Nuek (PKR) dan Frankie Jurem Nyombui (Parti Kebangsaan Sarawak atau SNAP) dengan majoriti 2,072 undi.


Tiada ulasan: