Sabtu, 14 Mei 2016

Cabaran Sg Besar dan Kuala Kangsar


DALAM tampalan Facebook saya pada 10 Mei lalu mengenai pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak, saya menulis:

“PRK yang sangat besar implikasinya kepada BN. Pada PRU 2013, BN menang kecil di Sungai Besar dan kemenangan di Kuala Kangsar tidak besar. Mohd Najib “duit itu raja” akan buat apa saja untuk tidak kecewa. Boleh guna Teluk Intan sebagai panduan. Wallahuaklam.”


Jadi kita sudah boleh bayangkan apa yang Perdana Menteri, (Datuk Seri Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sanrobone), Mohd Najib Abdul Razak, akan lakukan.

Tidak ada beras, gandum, dedak, duit, kain batik, projek dan janji yang tidak akan beliau taburkan untuk mengekalkan dua kerusi hidup mati itu.

Setelah Adenan Satem mempersembahkan Mohd Najib dengan kemenangan 72-10 dalam pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, Mohd Najib terpaksa buktikan yang beliau masih ada “magic” untuk mengekalkan dua kerusi tipis itu.

Kita kena ingat, dalam PRU 2013 ketika mana imej Mohd Najib belum tercalar dan slogan “I Love PM” masih ada sedikit harga, BN menang kecik di Sungai Besar dan di Kuala Kangsar.

Di Sungai Besar, daripada 36,991 undi Allah yarhamha Noriah binti Kasnon memperoleh majoriti 399 sahaja. BN ditentang oleh PR-PAS manakala di Kuala Kangsar, Allah yarhamhu Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad mendapat majoriti 1,082 daripada 27,801 undi dalam pertandingan tiga penjuru dengan PR-PAS dan bebas.

Antara Sungai Besar, di mana kemenangannya kecil, dan Kuala Kangsar, di mana kemenangannya tidak besar, Mohd Najib dan anak kapal penisi Bugisnya sekali lagi dilambung badai.

Tetapi jangan terkejut kalau Pahlawan Bugis yang terkenal dengan strategi “cash is king” berjaya mengekalkan kedua-dua kerusi itu.

Persoalan

1. Adakah sungai wang masih mengalir bagi membolehkan beliau meneruskan strategi duit itu raja? Kita tahu kewangan negara sempit sehingga berlaku pemotongan teruk di sana sini sementara tabung politik tersekat kerana duit “derma Arab” sudah dipulangkan dan banyak akaun luar negara berkaitan ibu duit 1MDB telah dibekukan.

2. Berpandukan PRN Sarawak, sungai wang nampaknya masih mengalir dan strategi “cash is king” masih laku di kalangan pengundi luar bandar dan orang miskin.

3. Adakah asmara dana tiga penjuru di kalangan Mohd Najib, Abdul Hadi Awang dan Harun Din akan menyebabkan PAS tidak bertanding?

4. Kalau (Datuk Seri) Abdul Hadi Awang mempunyai cengkaman kuku besi ke atas PAS seperti Mohd Najib ke atas Umno, PAS bukan sahaja tidak bertanding malah mungkin menyokong BN.

5. Akan tetapi kalau pemimpin PAS seperti Timbalan Presiden, Tuan Ibrahim Tuan Man, juga ada kuasa maka Abdul Hadi dan Harun mungkin dipaksa tidak memberi laluan mudah kepada BN. Setelah berpecah menjadi dua dan ditolak oleh pengundi Sarawak, PAS terpaksa membuktikan yang ia masih ada oomph di Semenanjung.

5. Dalam situasi di mana BN berlawan dengan Pakatan Harapan (PH) harapan BN lebih cerah kecuali parti-parti PH betul-betul bersatu padu dan tidak memanjangkan pertelingkahan ketika PRN Sarawak. Tetapi kalau berlaku pertandingan tiga penjuru di kalangan BN, PAS dan PH, harapan BN menang lagi besar.

6. Sejarah memihak kepada BN dalam PRK kerana ia boleh menumpukan segala jentera, tenaga manusia dan wang di satu tempat. Dalam konteks sekarang di dua tempat.

7. Contohnya ketika isu 1MDB mula panas dan ekonomi mula menurun, BN berjaya merampas kerusi Parlimen Teluk Intan daripada DAP dalam PRK tahun 2014. Dalam PRU 2013 DAP menang dengan majoriti 7,313 tetapi dalam PRK 2014 BN menang dengan majoriti 283. Taburan dedak dan janji projek menyebabkan pengundi mabuk.

8. Tetapi imej Mohd Najib kini calar-balar akibat pelbagai skandal manakala Umno pula telah berubah daripada parti kebangsaan Melayu yang terangkum (untuk semua) kepada parti eksklusif untuk Mohd Najib dan konco-konconya saja.

Kesimpulannya, sekalipun Mohd Najib masih boleh menggunakan wang, janji dan taktik tidak demokratik untuk menang, namun cabarannya lebih besar daripada PRU 2013.

Tetapi beliau akan lakukan apa saja untuk menang kerana kekalahan mempunyai implikasi yang sangat buruk terhadap kelangsungan (survival) beliau.

Kalau BN kalah di Sg Besar dan Kuala Kangsar, hatta penyokong tegar beliau pun akan berfikir dua kali sebelum meneruskan sokongan kepada beliau.

Wallahuaklam.

Tiada ulasan: