Selasa, 10 Mei 2016

Bumiputera tertekan dengan jurang pendapatan, kos sara hidup – Anina

 
Tiada gunanya pendapatan bumiputera meningkat jika kos sara hidup yang ditanggung rakyat juga turut meningkat.



Anina-Saaduiddin,-najib


PETALING JAYA: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai peningkatan purata pendapatan bumiputera dikecam selepas ia bukan satu kejayaan yang menggembirakan rakyat.

Bekas ahli UMNO Langkawi, Anina Saadudin sebaliknya berkata jurang pendapatan bumiputera masih lagi tidak setanding dengan rakyat berbilang bangsa yang lain di negara ini.

“Najib bukan sahaja perlu melihat kepada purata pendapatan tetapi juga kepada income disparity (jurang pendapatan) dalam kalangan bumiputera dan rakyat berbilang bangsa di negara ini.

“Ramai bumiputera yang masih berada di bawah kadar miskin tegar di bandar dan di luar bandar.

Sekiranya jurang pendapatan ini tidak dirapatkan maka ianya akan menghasilkan suasana himpitan hidup yang menekan golongan berpendapatan rendah dan tersisih dari arus kemajuan ekonomi,” katanya kepada FMT.

Anina berkata, kerajaan pimpinan Najib seharusnya melihat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya jurang pendapatan yang ketara selain peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Ini ditambah dengan pelaksanaan GST yang sekali gus menghimpit golongan bumiputera berpendapatan sederhana dan menghancurkan kehidupan golongan miskin tegar,” jelasnya.

Turut diketengah ialah kemelut ekonomi negara yang dihimpit dengan peningkatan hutang selain masalah seperti kekurangan peluang pekerjaan bagi golongan muda yang baru tamat pengajian.

“Secara keseluruhan, jurang pendapatan yang melebar ini terus menyakiti rakyat ditambah pula skandal 1MDB berjumlah RM 50 billion dan skandal RM 2.6 billion yang masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri,” katanya.

Perdana Menteri, sebelum ini berbangga dengan peningkatan purata pendapatan bumiputera daripada RM172 pada 1970 kepada RM5,548 pada 2014 sempena ulang tahun ke-70 tahun UMNO.

Tiada ulasan: