Selasa, 24 Mei 2016

Benarkah Pas boleh menang di Sungai Besar?





 
Oleh Azmi Hassan


Lazimnya jika berlaku pilihanraya kecil (PRK), parti yang menjadi tumpuan adalah parti yang menyandang kerusi tersebut dan dalam PRK Kuala Kangsar dan juga Sungai Besar, maka logiknya tumpuan adalah kepada Umno.

Tetapi menarik terutama sekali di kawasan Parlimen Sungai Besar tumpuan telah beralih daripada Umno kepada Pakatan Harapan dan Pas kerana kemenangan calon tidak lagi bergantung kepada siapa calon Umno tetapi lebih menjerumus sama ada keputusan yang bakal diambil oleh Pakatan Harapan dan Pas.

Secara logiknya agak sudah pasti Pas tidak akan melepaskan peluang meletakan calon mereka kerana kawasan parlimen tersebut dari segi tradisinya di wakili oleh calon dari parti tersebut. Bermula dari pilihan raya umum (PRU) 2004, di turuti dengan PRU 2008 dan kali terakhir PRU 2013, calon Pas berjaya mengurangkan perolehan undi calon Umno.

Jika PRU 2004 menyaksikan perbezaan undi di antara calon Pas dan Umno adalah 31 peratus tetapi PRU 2008 menyaksikan penyusutan perbezaan perolehan undi memihak kepada calon Pas kepada 20 peratus dan kali terakhir pada PRU 2013 calon Pas hanya tewas sebanyak 399 undi iaitu perbezaan undi sebayak satu peratus sahaja.

Sebab itu dari segi logiknya Pas sepatutnya meletakkan calon mereka kerana kekuatan Pas semakin bertambah kuat.

Kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang beberapa hari lalu bahawa tiada lagi perbincangan dengan Pakatan Harapan mengenai pendirian Pas di Sungai Besar bagaikan telah memuktamadkan keputusan kepimpinan Pas yang tetap dengan pendirian mereka adalah parti yang paling kuat dan mampu menewaskan calon Umno.

Tetapi timbul sedikit keraguan mengenai kekuatan sebenar Pas di Sungai Besar walaupun keputusan PRU 2013 memberi persepsi mengenai kekuatan Pas.

Tetapi perlu di beri perhatian bahawa bahawa Pas bertanding pada PRU 2004 dalam gabungan pembangkang yang dipanggil Barisan Alternatif sementara PRU 2008 dan 2013 melalui Pakatan Rakyat.

Sebab itu timbul sedikit kemusykilan tentang kekuatan sebenar Pas kerana keputusan ketiga-tiga PRU adalah bersandarkan kekutan pakatan pembangkang manakala status quo Pas pada masa kini adalah berada diluar pakatan pembangkang.

Jika di teliti keputusan salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sekinchan yang terletak dalam kawasn parlimen Sungai Besar, akan timbul sedikit kesangsian mengenai kekuatan sebenar Pas dalam kawasan parlimen tersebut.

Mengikut daftar pemilih terkini kawasan Sekinchan mempunyai 57 peratus pengundi Cina berbanding 39 peratus pengundi Melayu. Jika di tinjau satu lagi kerusi Dun dalam kawasan parlimen Sungai Besar iaitu Sungai Panjang, pengundi Melayu merangkumi sebanyak 85 peratus berbanding pengundi Cina cuma 15 peratus sahaja.

Tidak dapat dinafikan pengundi Cina di Sekinchan boleh dianggap sebagai kumpulan penentu kerana citarasa dari golongan ini sedikit sebanyak akan mewarnai keputusan PRK Sungai Besar.

Pada PRU 2004, pembangkang yang diwakili oleh DAP meraih kemenangan dengan 4,903 undi iaitu majoriti 344 undi. Komposisi pengundi pada ketika itu adalah 40 peratus Meleyu dan 57 peratus Cina.

Keputusan PRU 2008 pula menyaksikan calon DAP sekali lagi mencapai kemenangan dengan 5,403 undi.
Manakala PRU 2013 pula calon DAP secara mendadak memperolehi sebanyak 8,107 undi mengalahkan calon MCA dengan majoriti yang agak besar iaitu 2,239 undi.

Tidak keterlaluan jika diambil kira statistik keputusan Sekinchan maka besar kemungkinan sebahagian besar jumlah undi yang diperolehi oleh Pas dalam kawasan parlimen Sungai Besar itu datangnya dari penyokong DAP di Sekinchan.

Oleh kerana status quo sekarang ialah DAP dan Pas dianggap sebagai seteru politik, maka agak mustahil jika hanya Pas yang bertanding, undi penyokong DAP di Sekinchan akan diberikan kepada Pas.

Lazimnya jika penyokong DAP merasa kurang senang dengan calon yang bertanding, kumpulan ini akan memboikot dengan tidak keluar mengundi.

Apa yang berlaku pada PRK Teluk Intan pada tahun 2014 ketika DAP mempertaruhkan Dyana Sofia sebagai calon telah menyaksikan hanya 67 peratus pengundi yang layak menunaikan tanggung jawab mereka. Begitu jelas sekali terdapat sejumlah pengundi yang memboikot PRK Teluk Intan tersebut.

Sehingga hari ini belum ada ketetapan dari Pakatan Harapan sama ada mereka akan meletakkan calon tetapi apa yang pasti adalah Pas akan mempertaruhkan calon mereka tidak kira apa keputusan yang diambil oleh Pakatan Harapan.

Hakikatnya adalah jika Pakatan Harapan dan Pas masing-masing dengan calon mereka di Sungai Besar, sudah agak pasti kemenangan tidak akan berpihak sama ada kepada Pakatan Harapan atau Pas kerana pecahan undi akan memberi manfaat kepada Barisan Nasional.

Tetapi Pas sebenarnya mempunyai senjata yang agak kuat untuk memaksa Pakatan Harapan tidak meletakkan calon di Sungai Besar kerana jika Dun Sekinchan pengundi Cina dianggap kumpulan penentu maka dalam Dun Selangor pula Pas yang mempunyai sekurang-kurangnya 13 wakil Dun yang masih bersama mereka mampu menghuru-harakan kerajaan Selangor walaupun tanpa kerjasama wakil Dun Umno.

Tiada ulasan: