Ahad, 15 Mei 2016

Bayangkan tidak ada Kuala Lumpur hari ini

Al-Abror Mohd Yusuf  




ULASAN Bayangkan tiba-tiba tidak ada Kuala Lumpur pada hari ini.

Ia bukan bayangan melankolik atau gelisah seorang pemuda kepada kekasihnya jauh di mata, seperti Rangga di New York yang mengenang Cinta di Jakarta dalam Ada Apa Dengan Cinta 2.

Ia juga bukan detik seorang wanita di ambang pernikahan melepaskan marah dan dendam dalam gelabahnya di depan susuk lelaki disayangi dengan kata-kata: "Rangga, yang kamu lakukan ke saya itu - jahat!"

Membayangkan Kuala Lumpur yang tidak ada secara tiba-tiba, atau perlahan-lahan adalah khayalan nadir yang selalu terabaikan. Kita menjadi terlalu ramah dengan bencana alam dari semasa ke semasa.

Ketika sebahagian daripada jalan-jalan utama Kuala Lumpur dinaiki air Khamis lalu, entah apa yang terlintas di fikiran kita selain cemas dan marah.

Atau mungkin juga kita menjadi sangat takjub dan hairan memikirkan bagaimana deretan kereta di atas jalan raya tiba-tiba menjadi seperti kapal selam berehat di pelabuhan, misalnya, atau tentang saluran longkang untuk menampung curahan hujan lebat mengejut.

Hujan yang selalunya terabaikan kini menjadi sumber kebimbangan ramai orang. Semakin maju dan membangun kota raya, bertambah banyak bencana seperti banjir kilat dan lumpur menjelma.
Makna panas, basah

Di tempat lain, bencana yang datang bukan dalam bentuk banjir atau air, bahkan sebaliknya hangat kemarau. Sungai yang biasanya mengalir ramah dan jarang-jarang dipandang tiba-tiba menjadi tempat melihat ketakutan.

"Kemarau kali ini sampai ada pokok yang daunnya kering macam dibakar," kata pemandu pelancong alam semula jadi, Hashim Man.

Hashim menetap di Kuala Lipis, Pahang. Dia sudah menjadi pemandu pelancong memasuki hutan lebih 20 tahun. Dia faham benar makna panas, teduh dan basah tanah.

Sudah berkali-kali juga dia mengalami musim panas, tetapi bahang yang berlaku beberapa minggu lalu, katanya, memang lain dari biasa.

"Kawasan rumah saya hampir tiga minggu tak ada air," katanya.

Hashim berpendapat semua itu berpunca daripada penggondolan hutan, pembalakan dan urbanisasi.

Tidak dapat dipastikan sama ada dia turut terfikir jika Kuala Lipis tidak ada pada suatu hari nanti.
Sentiasa berasa benar

Pada masa sama politikus sibuk bersilat lidah untuk menuding jari menyalahkan musuh masing-masing.

Pedulilah dari mana pun mereka atau apa pun parti yang diwakilinya.

Biasanya politikus begitulah - mereka sentiasa benar dan kesalahan adalah hak eksklusif orang lain.

Bagi politikus, kesalahan dan masalah dilakukan oleh hampir semua orang kecuali diri mereka sendiri sehinggakan lakaran karikatur kartunis juga seakan-akan wajib dimusuhi.

Politiking semakin menjadi-jadi. Perjuangan seorang yang berhormat (YB) bukan lagi demi rakyat yang diwakilinya tetapi keutamaan adalah hayat politik diri sendiri, juga kroni.

Siapa yang mesti dicantas, siapa yang perlu diangkat, parti mana yang mesti diracun, projek mana yang harus disambar, giliran sekutu mana yang harus dibantu dan berapa banyak komisyen yang mesti diasingkan daripada peruntukan diberi kerajaan - nampak macam itu antara isu yang dipentingkan.

Abaikanlah jika ada longkang tersumbat atau sungai semakin cetek kerana hakisan, atau banjir lumpur akibat projek pembangunan tidak terancang.

Parlimen - atau dewan undangan negeri - menjadi tempat menjaja diri mendapatkan publisiti, selain peluang mendapatkan projek kerajaan.

Sampah dan politikus

Akhirnya sampah sarap sedikit demi sedikit semakin bertimbun dan menyekat aliran air. Maka hujan yang biasanya menyejukkan persekitaran menjadi punca banjir kilat.

Sampah biasanya bersifat kecil dan remeh namun pengabaian menjadikan ia 'besar'. Sama seperti api yang menjadi kawan ketika kecil namun bertukar menjadi lawan apabila kian besar.

Sampah sarap pun begitulah. Pertengkaran yang mengutamakan kepentingan peribadi, kepartian atau kroni menyebabkan daun-daun kering atau ranting menjadi punca masalah ramai. Seolah-olah masalah kos sara hidup yang semakin menekan dan tuntutan cukai di kiri dan kanan belum cukup untuk menyeksa kita.

Jika tidak diurus segera dan waras, tidak mustahil suatu hari nanti tidak ada lagi Kuala Lumpur. Ia bukan sekadar tentang sajak romantis atau rusuh hati Rangga kepada Cinta.

Ia adalah derita rakyat terbanyak yang terabai oleh 'politikus sampah'. Ia kesusahan dan cemas yang 'real'.
Dan kita tidak perlukan sajak untuk mengingatkan hal itu, sebenarnya.

Sebelum itu terjadi, harus kita katakan kepada 'politikus sampah' itu: "YB, yang kamu lakukan ke saya itu - jahat!"


Tiada ulasan: