Jumaat, 13 Mei 2016

Banjir kilat Kuala Lumpur: DBKL perlu buat kajian profesional dan telus untuk pengetahuan umum

lim lip eng

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Susulan banjir kilat di sini semalam, Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Lim Lip Eng, menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan kajian bagi mendedahkan punca sebenar berlakunya kejadian itu.

Beliau dalam kenyataannya hari ini turut meminta pihak berkuasa mewujudkan pelan mitigasi banjir yang komprehensif bagi mengelakkan kejadian sama berulang pada masa hadapan.

“Tidak kiralah sama ada ia disebabkan oleh daun kering yang menyebabkan parit dan longkang tersumbat seperti dakwaan Menteri Wilayah dua hari lalu, atau disebabkan pembinaan tak terkawal bangunan pencakar langit, projek MRT atau kerja pelebaran terowong Jalan Duta.

“Apa yang penting, kajian harus dilakukan secara profesional dan telus serta dimaklumkan kepada orang ramai.

“Jika DBKL boleh meluluskan pembinaan Menara KL118 setinggi 118 tingkat, tidak ada sebab untuk pihak berkuasa tidak dapat mewujudkan sebuah plan mitigasi banjir bagi mengurangkan banjir kilat di ibu kota,” katanya.

Semalam, hujan lebat yang bermula kira-kira lewat petang di ibu kota telah menyebabkan banjir dan menjejaskan empat jalan utama, iaitu Jalan Bangsar, Jalan Semantan, Jalan Pantai Baharu dan Jalan Pudu.

Kejadian itu turut mengakibatkan lebih seratus kenderaan ditenggelami air di hadapan kompleks Istana Negara serta kesesakan lalu lintas luar biasa ekoran banyak kenderaan terkandas di tengah-tengah jalan raya.

Menurut Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut, Kerajaan Persekutuan perlu memandang serius insiden tersebut serta memberi pampasan kepada semua pemilik kenderaan yang terlibat.

“Saya mencadangkan agar kerajaan memberi pampasan dengan apa jua cara kepada kesemua pemilik kenderaan yang terlibat, mungkin juga dengan memberikan pengecualian cukai jalan,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: