Sabtu, 21 Mei 2016

Azmin memang beri kata dua kepada tiga Exco PAS Selangor - Khairuddin Aman

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali memang sah beri kata dua kepada tiga Exco PAS supaya meletakkan jawatannya, sekiranya parti itu tetap berkeras mahu bertanding PRK Parlimen Sungai Besar.
 
Demikian pendedahan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali kepada sebuah portal berita hari ini. 
 
Khairuddin bertegas pengesahannya itu dibuat berdasarkan maklumat yang diterima pihak partinya.
 
“Azmin ‘terkantoi’ berbohong kepada wartawan, kononnya tidak pernah arahkan EXCO PAS (Selangor) letak jawatan sedangkan memang ‘confirm’ dia (Azmin) arahkan EXCO PAS meletakkan jawatan jika PAS terus bertanding di Sungai Besar,” katanya dipetik portal Free Malaysia Today (FMT).
 
Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mendakwa Azmin terpaksa bertindak sedemikian selepas ditekan pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang mahu meletakkan calon mereka di Parlimen berkenaan.
 
“Sesama Pakatan Harapan pun tekan dia (Azmin) dalam isu Deklarasi Rakyat. Pakatan Harapan tekan dia isu bertanding PRK Sungai Besar, jadi nak lepaskan diri dia ‘melibas’ semua orang termasuk Presiden PAS,” katanya.
 
Khairuddin melahirkan rasa kesal atas kenyataan terbaharu Azmin yang kelihatan menyindir Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ketua yang tidak tahu isu dalam parti.
 
Kenyataan seolah sindiran itu merupakan jawapan Azmin kepada Hadi yang menyangkal adanya rundingan rasmi pengagihan kerusi PRK antara PAS dan PKR.
 
Menurut Azmin rundingan dilakukan dengan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man; Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali dan setiausaha politik kepada Hadi, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
 
Walaubagaimanapun, PAS mengambil pendekatan memaafkan perbuatan Azmin, malah memahami stuasi yang sedang dihadapi Menteri Besar Selangor itu.
 
“Kita maafkan Azmin atas ‘kecelaruan’ fikiran dia akhir-akhir ini,” katanya.
 
 

Tiada ulasan: