Ahad, 15 Mei 2016

Apakah Khir Toyo buat 'comeback' di Sungai Besar?

MALAYSIA DATELINE


Khir ToyoKhir Toyo


Media Umno, Mykmu.net melaporkan, desas-desus kini bergerak kencang kemungkinan Dr Mohamad Khir Toyo, bekas Ketua Bahagian Umno Sungai Besar dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang akan membuat 'comeback' dalam Pilihan Raya kecil (PRK) Sungai Besar pada Jun nanti.

Dr Mohamad Khir yang akan dibebaskan dari hukuman penjara pada penghujung Mei ini layak bertanding dalam pilihan raya kecil yang akan bermula dengan penamaan calon pada 5 Jun 2016.

"Jika Mohamad Khir memutuskan untuk mencuba nasib, apakah Barisan Nasional dan Umno akan mencalonkan beliau? Atau mungkinkah beliau bertanding sebagai calon bebas untuk “membalas dendam” kepada kepimpinan Umno?" soal penulis laman Umno itu.

Malah, katanya, tidak mustahil jika kejutan yang lebih besar ialah beliau bertanding atas tiket Pas berdasarkan hubungan baik beliau dengan Pas kawasan dan beberapa rakannya dalam Pas Pusat sekarang.

Sudah tentu pada 5 Jun 2016 nanti lebih ramai akan menumpukan mata ke Sungai Besar berbanding Kuala Kangsar. Apakah bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno undi tertinggi ini akan membuat satu kejutan, kata laman itu.

Khir dikatakan layak bertanding walaupun akhbar The Sun semalam mendakwa bekas Menteri Besar Selangor itu tidak layak bertanding jika tidak mendapat pengampunan Di Raja adalah satu laporan yang menyesatkan.

Hukuman ke atas Dr Mohamad Khir ialah penjara 12 bulan dan dilucutkan hak setakat mana miliknya ke atas lot banglo di Shah Alam.

The Sun memetik bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Hishamudin Mohd Yunus, bahawa berdasarkan Artikel 48 (1) (e) Mohamad Khir tidak layak bertanding kecuali mendapat pengampunan Di Raja kerana telah dihukum penjara 12 bulan.

Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan Malaysia mengenai kehilangan kelayakan menjadi ahli Parlimen dalam fasal (e) menyebut apabila “Seseorang itu telah disabitkan atas suatu kesalahan oleh sesuatu mahkamah di Persekutuan (atau, sebelum Hari Malaysia, di wilayah yang termasuk di dalam Negeri Sabah atau Sarawak atau di Singapura) dan dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada dua ribu ringgit dan dia tidak mendapat pengampunan bebas”

Hukuman ini bukan sahaja menyebabkan penjawat jawatan hilang jawatan tetapi juga mereka yang dikenakan hukuman tersebut dilarang dari bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun, jika tidak mendapat pengampunan, kata laporan itu.

Dalam kes Mohamad Khir, isu yang menjadi pertikaian ialah sama ada hukuman penjara yang dikenakan selama 12 bulan atau setahun itu telah menghilangkan kelayakan beliau untuk bertanding selama lima tahun.

Tafsiran terkini dan paling tinggi telah dilakukan oleh Mahkamah Agung Malaysia (Mahkamah tertinggi di Malaysia) pada tahun 1993 dalam kes Pendakwaraya lawan Leong Yin Ming. Dalam kes tersebut Mahkamah Agung memutuskan tafsiran undang-undang sesuatu yang menyebut “not less than..” mestilah lebih dari had yang disebut.

Dalam kes tersebut Mahkamah Agung memutuskan “not less than five years” (tidak kurang dari lima tahun) mesti membawa makna “five years and one day onwards” (Lima tahun sehari dan ke atas).

Berdasarkan keputusan Mahkamah Agung yang tidak pernah dicabar sehingga hari ini, maka Mohamad Khir Toyo hanya akan hilang kelayakan jika beliau dihukum penjara 12 bulan dan satu Hari.

Keputusan Kes Mahkamah Agung ini juga dipegang oleh Mahkamah Tinggi pada 2010, dalam kes Pendakwaraya lawan Tian Chua (Ahli Parlimen Batu) yang didenda RM 2,000.00.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha menegaskan pada penghakiman bertulisnya bahawa denda RM2,000 yang dikenakan ke atas Tian Chua dari PKR tidak akan menyebabkan beliau kehilangan kerusi Parlimen Batu.

Dalam penghakiman 18 muka surat tersebut, hakim itu memetik sebahagian penghakiman hakim Mahkamah agung, Tan Sri Gunn Chit Tuan yang berkata “Tidak kurang dari” seharusnya membawa maksud “lebih daripada”.

“Maka dengan berpegang kepada keputusan dalam kes Mahkamah Agung di atas, saya berpuas hati dan berpendapat bahawa denda RM2,000 itu tidak menjadikan perayu hilang kelayakan beliau secara automatik kerana denda untuk menjadikan beliau hilang kelayakan adalah RM2,001 ke atas dan bukannya bermula daripada RM2,000.

“Keputusan Mahkamah Agung ini mengikat mahkamah rendah. Ia adalah autoriti kukuh yang boleh diguna-pakai oleh mahkamah ini,” kata hakim Ghazali.

Tiada ulasan: