Khamis, 12 Mei 2016

Anwar beri penghormatan terakhir kepada adik

 
Anwar dibawa dari HKL ke Teras Jernang untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah Rehan.


anwar_adik_600


PETALING JAYA: Bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih dipenjarakan diberi peluang untuk memberi penghormatan terakhir kepada adik perempuannya yang meninggal dunia semalam.

Menurut laporan Malaysiakini, Anwar dibawa dari wad Hospital Kuala Lumpur (HKL) ke Teras Jernang di Kajang.

Rehan Ibrahim meninggal dunia semalam dan dikebumikan selepas solat zohor hari ini.

Isteri Anwar yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerusi Facebooknya memuat naik gambar-gambar Anwar di rumah Allahyarhamah di bawah kawalan ketat polis.

“DSAI dibawa menziarahi jenazah adik beliau yang meninggal dunia semalam di Teras Jernang pagi ini..sedih mengenangkan pemergian ramai orang tersayang, tanpa beliau dapat berada di sisi kerana terpaksa dipisahkan oleh tirai besi penjara.

“Semoga Allah limpahi rahmat-Nya buat Hajah Rehan..ampuni dan berkatilah beliau, syukur DSAI dapat bersama mendoakan..amin, Alhamdulillah,” demikian dua catatan Dr Wan Azizah di Facebooknya hari ini.

Anwar yang masih dipenjarakan di Sungai Buloh dibawa ke HKL untuk pemerhatian selepas mengalami tekanan darah tidak stabil pada malam Isnin lalu.

Tiada ulasan: