Selasa, 17 Mei 2016

Amy: Tak sangka fitnah kian besar

MALAYSIAKINI




Vokalis Search, Amy, menunjukkan rasa musykil dengan sikap penaja konsert mereka, Afjets Sdn Bhd, yang disifatkannya seperti mencurah minyak ke api dalam isu pertikaian dengan Yazid.

Dalam status di Facebook, Amy menyatakan dengan kedudukan kewangan semasa Afjets sepatutnya tidak ada masalah untuk menjayakan projek konsert 35 Tahun Search pada Ogos nanti.

"Tapi (mereka) menuang minyak kasi api lagi besar... Why? Kenapa?" katanya.

Bagi Amy hanya pihak Afjets saja yang mempunyai jawapan kepada tindakan mereka.

Dalam sidang media Yazid pada 12 Mei lalu diberitakan Ketua Pegawai Eksekutif Afjets Amrul Nizar Anuar mengesahkan ada lima nama pada memorandum persefahaman (MoU) asal antara pihaknya dengan Search.

Bagaimanapun kata Amrul Nizar, nama Yazid dikeluarkan apabila dokumen akhir diserahkan semula kepadanya kemudian.

Dia juga menceritakan Afjets membuat bayaran pertama kepada Search pada 25 Disember dengan anggapan ia dibahagi sama banyak dengan semua lima anggota kumpulan berkenaan.

Yazid sebelum itu mendakwa dia tidak tahu menahu mengenai pembayaran pertama itu kerana tidak mendapat bahagiannya.

Sebelum itu Yazid - pemain dram Search - mengadakan sidang media menjelaskan mengapa dia membuat laporan polis selepas tidak puas hati dengan cara pengagihan wang untuk konsert berkenaan.

Main setakat larat

Dia juga enggan memohon maaf seperti dituntut pihak Search kerana kenyataan dibuatnya.
Yazid turut mendakwa dia berasa disisihkan sejak mereka mengadakan persembahan di Istana Budaya pada 2014.

Amy berkata Search tidak mengetepikan Yazid disebabkan faktor wang, malah tidak ada sebarang kenyataan dibuat untuk mencari pengganti dalam konsert berkenaan.

Search istana budaya. Mcm mana org kata kite ketepikan dia kerana duit. Tk pernah satu statemnt on kite cari penganti. Yazit main mana yg dia larat. Dia main 4 lgu utk segmnt dia di 4mlm. Kite main 20lgu dn hmpir 2jam stngh. Yazit dpt Rm42 ribu dn Rm7 ribu duit tshirt. Cuma kurang 20% dri kite org sebab bayo pemain drum sesionist. Show lain pn mcm tu gak. Ade show dia tk main sbab kt hospital tpi kite org bagi juga. Nasir hnta kt hospital bln posa sblm beberapa hari sblom Ray...
Lihat Lagi

 "Yazid main mana (setakat yang) dia larat. Dia main empat lagu untuk segmen dia di empat malam. (Kami) main 20 lagu dan hampir dua setengah jam.

"Yazid dapat RM42,000 dan RM7,000 duit (baju-T). Cuma kurang 20 peratus dari (kami) sebab Bayo (sebagai) pemain dram sesionist," kata Amy.

Menurutnya, keadaan sama berlaku pada persembahan lain Search dan pada ketika tertentu Yazid tidak terbabit kerana mendapatkan rawatan di hospital.

Walaupun begitu Amy berkata Search tetap memberi sebahagian daripada perolehan kumpulan itu kepada Yazid.

Buat laporan polis

Antaranya, kata Amy, sumbangan beberapa hari sebelum hari raya yang disampaikan Nasir (pemain bass).
"Siang kawan hantar rezeki, malam (kemudian Yazid) keluar televisyen (tuduh) kawan-kawan dia penipu.
"Dah dua kali hari raya dia caci kawan-kawan cuma (kami) ni tak pernah balas balik," katanya.

Menurut Amy dia terpaksa menjawab isu berkenaan kerana tidak menyangka "fitnah" itu "semakin besar".

Search dijadual mengadakan persembahan di Litar Antarabangsa Sepang pada 30 Ogos ini sempena 35 tahun pembabitan mereka dalam industri seni negara.

Bagaimanapun konflik berlaku apabila Yazid dikatakan tidak berpuas hati dan membuat laporan polis.

Search kemudian mengadakan sidang akhbar untuk membuat penjelasan, dan sehari kemudian Yazid melakukan tindakan sama untuk membalas kenyataan diberi anggota kumpulan itu.


Tiada ulasan: