Jumaat, 20 Mei 2016

'Amanah tak pujuk Husam, terpulang pada dia'

Mohamad Sabu
Mohamad Sabu
 
 
KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (Amanah) memberitahu pihaknya tidak memujuk ahli Pas yang dipecat, Datuk Husam Musa menyertai parti itu.

Presidennya, Mohamad Sabu berkata pilihan terletak di tangan Husam untuk memutuskan laluan perjuangannya.

“Kita tidak memujuk. Husam seorang yang bijak bestari, ada pemikirannya cuma, kita mengalu-alukan (beliau bersama kita).

“Kita mengalu-alukan orang seperti beliau untuk berada dalam Amanah. Tapi beliau seorang yang bijak, jadi, ikut dialah, mana-mana (parti) dia nak pilih,” katanya dalam temu bual khas dengan Sinar Online, hari ini.

Pas memecat Husam berkuat kuasa 23 April lalu namun Husam menganggap beliau masih ahli Pas susulan belum menerima sebarang notis sehingga hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Husam belum 'dipinang' parti politik lain]

Dalam pada itu, Mohamad atau Mat Sabu mengakui mengiktiraf Husam sebagai seorang yang berkebolehan khasnya dalam bidang ekonomi.

“Beliau seorang yang mempunyai pandangan-pandangan terutama dalam bidang ekonomi. Satu penggal saya berpengalaman dengan beliau di Parlimen.

“Memang beliau seorang yang boleh memberi cadangan dan membongkar penyelewengan tumpuannya dalam bidang ekonomi,” katanya.

Semalam, Husam meminta diberikan tempoh tiga hingga empat bulan sebelum membuat pengumuman terhadap penyertaannya dalam mana-mana parti politik.


Tiada ulasan: