Khamis, 12 Mei 2016

AMANAH beri gambaran pertandingan 3 penjuru di Sg Besar

Anne Muhammad

 


Pemimpin kanan Parti Amanah Negara (AMANAH) Khalid Samad memberi gambaran akan berlaku pertembungan tiga penjuru antara Pakatan Harapan, PAS dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.

Katanya, Pakatan Harapan akan menghantar calon mereka dan berkemungkinan dari PKR, AMANAH atau DAP.

“Ada kemungkinan tiga penjuru. Kalau tiga penjuru membuktikan ia sokongan kepada Pakatan Harapan, bukan pada parti-parti sendirian yang bertanding.

“AMANAH akan bermesyuarat pada 15 hari bulan untuk bincang perkara ini, akhirnya kita berpandangan calon yang nak diturunkan mesti calon Pakatan Harapan,” katanya kepada Malaysiakini.

Khalid berkata, meskipun membawa nama Pakatan Harapan, beliau turut berharap supaya calon dari AMANAH yang bertanding dalam PRK tersebut.

“Tapi bagi AMANAH, kalau boleh kita nak lah (bertanding), kita akan berhujah (dalam mesyuarat Pakatan Harapan), bertemu dan berbahas tapi tidak ada makna kalau kita tidak tonjolkan Pakatan Harapan,” katanya.

Kerusi Parlimen Sungai Besar menjadi kosong ekoran penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau Sarawak pada 5 Mei lepas.

Khalid, ketika ditanya tentang kemungkinan akan kalah kerana pertandingan banyak penjuru sepertimana yang berlaku di pilihan raya negeri (PRN) Sarawak, berkata:

“Terpulang pada PAS lah kalau dia yang nak tiga penjuru. PAS sendiri nak buat blok ketiga, jadi terpulang pada dia.

“Rakyat kena pilih. Nak blok ketiga yang ada Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) atau Pakatan Harapan yang ada AMANAH, PKR dan DAP," katanya.

Sementara itu, beliau yang juga ahli Parlimen Shah Alam ketika ditanya mengenai pertembungan antara Pakatan Harapan dan PAS tidak akan menjatuhkan BN dalam PRK itu berkata:

“PRK ini matlamat bukan jatuhkan BN, nak jatuhkan BN masa pilihan raya umum (PRU). Jadi kita nak manfaatkan PRK ini untuk PRU, itu yang penting.

“Kita juga nak manfaatkan PRK untuk PRU, jadi kita perkenalkan Pakatan Harapan,” katanya.

Pada PRU13, Allahyarham Noriah memenangi kerusi Parlimen Sungai Besar dengan menewaskan calon PAS, Mohamed Salleh M Hussin dengan majoriti 399 undi.


Tiada ulasan: