Jumaat, 20 Mei 2016

7,600 rakyat Malaysia tertipu, RM90 juta lebur

 
Mangsa diminta mendepositkan sejumlah wang ke akaun sindiket terbabit dan mereka dijanjikan pulangan lumayan sehingga kira-kira RM8 bilion dalam tempoh singkat.


Tajuddin_money_600


PETALING JAYA: Seramai 7,600 rakyat Malaysia dilaporkan mengalami kerugian kira-kira RM90 juta akibat terpedaya dengan skim cepat kaya.

Utusan Malaysia melaporkan, wang mereka lebur gara-gara terpedaya dengan satu skim pelaburan terbaru yang dikenali sebagai Federal Reserve Chicago Bond.

Menurut sumber akhbar itu, skim cepat kaya berkenaan dikatakan wujud sejak empat bulan lalu dan sasaran mereka adalah generasi celik teknologi maklumat tanpa mengira usia.

Mangsa diminta mendepositkan sejumlah wang ke akaun sindiket terbabit dan mereka dijanjikan pulangan lumayan sehingga kira-kira RM8 bilion dalam tempoh singkat.

“Mangsa sentiasa dihubungi dan dilayan mesra oleh sindiket menyebabkan mereka tidak sedar skim itu hanya wujud dalam ‘bayangan’,” kata sumber itu.

Dalam pada itu, ada khabar angin mengatakan wang tunai sebanyak RM2.4 juta yang ditemui dalam sebuah kereta mewah di Kilometer 24 Jalan Ulu Pauh-Padang Besar semalam ada kaitan dengan kes ini.

Bagaimanapun Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dipetik China Press enggan mengulas jika kedua-dua kes itu ada kaitan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah (Siasatan) JSJK Bukit Aman, Datuk Tajudin Md Isa berkata, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan dan siasatan awal mendapati keuntungan tinggi yang dijanjikan kepada mangsa tidak diperolehi dalam tempoh dijanjikan.

Katanya, polis sedang menyiasat identiti mangsa terbabit dan tidak menolak kemungkinan ada di kalangan mereka terdiri daripada orang kaya atau individu berpangkat Datuk.

Pada masa sama, polis juga sedang menyiasat identiti suspek terbabit serta latar belakang sindiket itu.
Tajudin percaya sindiket penipuan itu pernah aktif di dalam negara ini dan selepas senyap seketika, mereka kembali beroperasi semula.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sindiket itu diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi DSP Nooranita Ismail di talian 019-4814459 atau 03-26101222.

Tiada ulasan: