Ahad, 15 Mei 2016

1MDB Dan Tangisan Rakyat



 
Oleh Abu Hassan Adam


Puas juga aku cuba meyakinkan diri aku bahawa sebenarnya tidak ada perkara-perkara ‘sumbang’ yang berlaku mengenai isu IMDB. Tidak berlaku sebarag kejanggalan dalam pelaksanaan perniagaan yang dijalankan oleh IMDB. Dan tidak ada salah laku yang dilakukan oleh samada DS Mohd Najib Tun Abdul Razak selaku Menteri Kewangan atau Penasihat IMDB ataupun para ahli lembaga pengarah yang diamanahkan untuk mentadbirkan IMDB supaya dapat dibanggakan oleh negara

Semakin aku berusaha untuk menyakinkan diri aku bahawa sebenarnya tidak ada apa-apa yang berlaku, maka semakin kuat pula keyakinan bahawa sebenarnya ada  sesuatu yang tidak kena yang berlaku kepada IMDB. Aku lihat semakin kuat ‘pokok bergoyang’. Yang ‘menggoyang pokok-pokok’ berkenaan bukannya angin sepoi-sepoi bahasa tetapi merupakan ribut taufan yang berkemungkinan akan menghancur-leburkan negara kita. Dan ‘ribut’ yang datang adalah ribut yang bersumberkan luar negara.

Walaupun ramai para pemimpin negara, khususnya yang menjadi Menteri, Wakil rakyat BN ( samada ahli parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri) masih mempertahankan hujah mengatakan bahawa IMDB itu berada di landasan yang betul namun hati kecilku ‘tidak mahu mengalah’ dan terus merasakan bahawa sememangnya ada yang tidak kena yang berlaku dalam pelaksanaan IMDB. dan sikap yang ditunjukkan oleh para pemimpin di negara kita.

Tentulah aku agak ‘berdosa’ kepada diri aku, kepada pemikiran dan ‘pegangan aku’ sekiranya aku masih mahu mengatakan bahawa IMDB itu tidak ada cacat celanya sebagaimana yang sentiasa didendangkan oleh para pemimpin negara kita. Dan yang merunsingkan aku juga ialah sampai bila agaknya para pemimin negara dan pihak yang berkepentingan ini mahu terus berpaut kepada ‘benang basah’ mereka. Apakah mereka langsung tidak memikirkan tentang nasib bangsa Malaysia pada masa yang akan datang. Apakah sudah begitu rapat tertutupnya mata mereka sehingga mereka tidak nampak langsung ‘kecelaruan’ yang dialami oleh IMDB. Apakah telinga mereka sudah benar-benar tertutup sehinggakan tidak mahu lagi mendengar ‘nasihat-nasihat’ dari luar yang bertujuan untuk membetulkan keadaan yang pincang  ini.

Rakyat Malaysia sudah betul-betul bingung. Maksud aku rakyat yang boleh berfikir dengan waras dan matang apabila melihatkan segolongan rakyat yang langsung tidak mahu menerima dan mengakui kepincangan yang berlaku dalam negara kini ekoran daripada peritiwa yang dicetuskan oleh IMDB ini. Rakyat kini sudah bingung bukan sahaja dicetuskan oleh isu IMDB tetapi sudah bingung disebabkan wujudnya rakyat Malaysia yang tidak peduli tentang perkara buruk yang berlaku ke atas diri mereka dan negara tercinta.

Tersentak aku apabila ada yang mengatakan bahawa ada kemungkinannya negara kita akan menjadi seperti negara Greece yang bankrup disebabkan hutang yang berlipat ganda. Walaupun aku tidak yakin yang negara Malaysia  akan terjadi seperti negara Greece, namun apabila dikenangkan dan difikirkan secara rasional, seluruh tubuh aku menjadi ‘seram-sejuk’ mengenankan yang negara kita juga berkemungkinan terjadi sedemikian.

Yunani adalah sebuah negara yang bangsanya terdiri dari cerdik pandai dunia. Dari Yunanilah munculnya manusia seperti Plato, Aristotle dan munculnya gagasan-gagasan dunia yang sehingga kini masih dipakai dan dipraktikkan. Ditilik mengikut perkiraan yang biasa, tidak mungkin yang Greece terjadi muflis dan menjadi bangsa yang meminta-minta untuk diselamatkan. Tetapi itulah hakiktanya. Negara dan bangsa Greece menjadi bangsa yang terhina dalam sekelip mata.

Aku tidak mahu Malaysia menjadi sebuah negara seperti Greece. Aku tidak mahu bangsa aku menjadi bangsa yang hilang maruah dirinya disebabkan oleh keadaan ‘papa-kedana’nya. Aku tidak mahu rakyat negara ini menjadi peminta sedekah dan terpaksa berhijarh dan meminta-minta dari negara lain yang maju. Aku tidak mahu anak cucu aku menjadi pengemis disebabkan oleh kesilapan pemimpin yang terdahulu.

 Sebenarnya bukan salah ibu yang mengandung, tetapi nasib badan yang tak sedar untung. Bukan tidak dinasihatkan dan bukan tidak dikhabarkan tentang buruk baiknya sesuatu tindakan. Namun disebabkan ketamakan dan hanya mementingkan diri sendiri maka para pemimpin kita tersalah jalan yang menyebabkan anak cucu yang menerima bebaban.

Apabila sampai masanya nanti, tidak perlu lagi kepada tangisan untuk membetulkan keadaan ‘nasi yang sudah menjadi bubur’. Bak kata datuk nenek kita bahawa air mata darah sekalipun tidak akan dapat ‘menjadikan bubur menjadi nasi semula’.
 
Kini kita hanya menunggu dan menanti tangisan rakyat
 
 

Tiada ulasan: