Khamis, 12 Mei 2016

186k RELA akan dikeluarkan elak unsur negatif

FREE MALAYSIA TODAY


Proses pemutihan itu amat penting kerana RELA benar-benar ingin memastikan anggotanya tidak menyalahgunakan kursus belajar menembak untuk mengancam keselamatan negara.


zahid


PUTRAJAYA: Seramai 186,000 daripada 3.8 juta anggota RELA di seluruh negara akan dikeluarkan daripada jabatan sukarelawan itu menerusi program pemutihan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, proses itu bertujuan mengelakkan wujud unsur negatif termasuk pembabitan dalam jenayah dan masalah disiplin di kalangan anggota biasa atau yang mendapat kedudukan sebagai ahli bersekutu atau kehormat.

Menteri Dalam Negeri itu berkata, tindakan berterusan mulai Januari lalu telah mengenal pasti 34 daripada 186,000 anggota RELA terbabit dalam kes jenayah bersabit kesalahan mengikut Kanun Keseksaan.

“RELA harus lebih serius kalau hendak tambah ahli, jabatan ini harus juga melihat kualiti anggota yang diambil. Kualiti penting dan bukannya kuantiti kita tidak mahu kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya pada Majlis Pemakaian Pangkat Kehormat dan Bersekutu RELA kepada 39 Pemimpin Muda Kesatria Muda Keselamatan (KMK) bagi Exco Puteri UMNO hari ini.

Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin merupakan antara 39 penerima Pemakaian Pangkat Kehormat dan Bersekutu RELA daripada Timbalan Perdana Menteri.

Menurut Ahmad Zahid, langkah mengekalkan kualiti sentiasa terjamin bertujuan memastikan anggota RELA serius dalam melaksanakan tugas sebagai barisan kedua pertahanan dan keselamatan negara selepas polis dan tentera.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan golongan belia menyertai RELA bagi menyemai semangat kesukarelawan untuk menyumbang bakti kepada masyarakat dan negara.

Setakat ini katanya, daripada 3.8 juta anggota RELA itu, seramai 1.01 juta terdiri daripada anggota berumur 30 tahun dan ke bawah.

Sementara itu, Ketua Pengarah RELA, Datuk Kamariah Mohd Noah berkata, proses pemutihan itu dilakukan terhadap anggota yang sudah lama berkhidmat dan anggota baru sebelum diserap ke dalam RELA.

Katanya, 186,000 anggota yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 60 tahun itu bukan sahaja mempunyai masalah disiplin atau terlibat dalam jenayah, tetapi juga termasuk mereka yang meninggal dunia serta memberi alamat salah.

Menurut Kamariah, proses saringan pemutihan dilakukan menerusi pemeriksaan dengan Jabatan Pendaftaran Negara, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Jabatan Penjara Malaysia sebelum mereka diberikan kad kuasa.

“Kalau dahulu sebaik sahaja mohon terus automatik dapat kad kuasa. Sekarang tidak. Kita akan periksa latar belakang mereka dengan tiga jabatan itu. Sekiranya didapati bersalah, kita akan tarik keanggotaaan mereka,” katanya.

Dalam pada itu, Kamariah menegaskan proses pemutihan amat penting kerana RELA benar-benar ingin memastikan mana-mana anggotanya tidak menyalahgunakan kursus belajar menembak untuk mengancam keselamatan negara.– BERNAMA

Tiada ulasan: