Ahad, 24 April 2016

Wartawan Malaysiakini keluar Sarawak, bimbang ancaman keselamatan

 
Artikel yang disiarkan Khamis lepas melaporkan Annuar meminta rakyat Sarawak mengundi BN pada pilihan raya negeri 'supaya pemimpin Islam boleh terus menerajui kerajaan Sarawak.'


Steven-Gan,Kow-Gah-Chie-1


PETALING JAYA: Susulan penyebaran gambar seorang wartawan portal Malaysiakini di media sosial, pengarangnya terpaksa mengarah supaya wartawan itu meninggalkan Sibu, Sarawak kerana bimbang keselamatannya terancam.

Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan dilapor berkata, pengedaran gambar wartawan terbabit, Kow Gah Chie berlaku selepas dia didakwa menulis artikel mengelirukan dengan memetik kenyataan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) Nangka, Annuar Rapaee.

“Walaupun kami telah memanggil semula Gah Chie atas sebab-sebab keselamatan, Malaysiakini akan terus membuat liputan pilihan raya di negeri itu dengan beberapa wartawan yang lain,” katanya, lapor Malaysiakini, hari ini.

Artikel yang disiarkan Khamis lepas melaporkan Annuar meminta rakyat Sarawak mengundi BN pada pilihan raya negeri ‘supaya pemimpin Islam boleh terus menerajui kerajaan Sarawak.’

Kemudian pada hari yang sama, Annuar memberi reaksi terhadap laporan itu memberitahu bahawa kenyataannya diambil di luar konteks.

Malaysiakini mempertahankan laporannya turut memetik Annuar menafikan bahawa beliau bermain sentimen kaum dan agama.

Manakala, polis Sarawak dilapor mengesahkan Gah Chie disiasat mengikut Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan.

Gan menambah, laporan polis itu sebagai percubaan terbaru untuk menakut-nakutkan wartawan di Malaysia.

“Ini bertujuan membawa kesan yang menakutkan ke atas media menjelang pilihan raya negeri. Kita tidak harus tunduk kepada gangguan itu,” tegas Gan.

The New Straits Times hari ini memetik Penolong Pesuruhjaya Kanan Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Dev Kumar sebagai berkata, kes itu sedang disiasat berdasarkan enam laporan dibuat terhadap Gah Chie.

Dev, bagaimanapun memberitahu The New Straits Times bahawa beliau tidak dapat mengesahkan laporan yang berlegar di media sosial bahawa wartawan itu didakwa meninggalkan negeri itu tiba-tiba semalam.
“Kita tidak sedar bahawa dia diminta untuk meninggalkan Sarawak oleh majikannya,” kata beliau.

Seksyen 505 (c) Kanun Keseksaan merujuk kepada siasatan ke atas sesiapa yang membuat, menyiarkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat untuk menghasut orang awam.

Tiada ulasan: