Isnin, 11 April 2016

Wanita ‘mengamuk’ di stesen komuter ditahan

 
Polis diberitahu bahawa suspek merupakan seorang penagih dadah jenis syabu dan tidak bekerja.


amuk-ditahan-polis


KUALA LUMPUR: Wanita yang mengamuk dan berkelakuan tidak senonoh di Stesen Komuter Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Bandar Tasik Selatan, Jumaat lalu, ditahan reman.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Chong Kok Sin berkata, wanita itu ditahan keesokannya susulan aduan seorang petugas KTMB di stesen berkenaan yang disepak dan dimarahi suspek dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi.

Berita Harian melaporkan, pengadu yang juga pembantu trafik KTMB mendakwa terdengar kekecohan di Platform 2 dan bergegas ke situ untuk memeriksa keadaan sebelum melihat suspek menengking penumpang lain.

“Apabila suspek masuk ke dalam komuter arah ke ibu negara, dia dikatakan terus membuat kecoh sebelum membuka coli dipakainya di hadapan orang ramai.

“Pengadu bertindak mengambil beg sandang suspek dan meletakkannya di luar bertujuan untuk menghalau wanita itu, sebelum mengarahkan pemandu komuter meneruskan perjalanan,” katanya.

Kok Sin dipetik berkata, pengadu kemudian beredar ke kaunter pemeriksaan tempatnya bertugas, sebelum suspek tiba-tiba datang ke arahnya sambil memaki hamun.

“Suspek membaling kerusi plastik berhampiran pengadu dan terus memaki hamun serta cuba menendangnya beberapa kali sebelum beredar keluar dari stesen berkenaan.

“Susulan itu, pengadu membuat satu laporan polis atas arahan penyelianya dan siasatan awal dijalankan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, pihak polis juga ada menerima panggilan daripada seorang wanita mengaku sebagai kakak suspek selepas satu video rakaman kelakuan adiknya itu viral di media sosial.

“Wanita itu memberitahu adiknya adalah seorang penagih dadah jenis syabu dan tidak bekerja. Berikutan itu, kami tahan suspek Sabtu lalu dan direman sehingga Rabu ini bagi membantu siasatan,” katanya.

FMT menyiarkan rakaman video berdurasi 2.40 minit menunjukkan ‘aksi’ suspek membuat provokasi dan memaki hamun pengadu di stesen berkenaan.

Menerusi video yang dipercayai dirakam orang awam itu, suspek dilihat hanya memakai coli berwarna hijau, berseluar merah sambil menyandang sebuah beg.

Tiada ulasan: