Ahad, 10 April 2016

TV3 juga mahu siar debat Guan Eng- Abdul Rahman

MALAYSIAKINI





Rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB) bersedia untuk menyiarkan debat antara Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan bersama Lim Guan Eng dalam isu tanah Taman Manggis dan pembelian banglo ketua menteri Pulau Pinang itu.

Pengarang Urusan Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen MPB, Datuk Seri Mohd Asyraf Abdullah berkata, walaupun mengambil maklum kesanggupan RTM untuk menyiarkan debat berkenaan namun pihaknya juga bersedia menyiarkan debat itu secara langsung, lapor Berita Harian.

"Saya ingin menyatakan bahawa Rangkaian Televisyen MPB juga bersedia menyiarkan debat terbabit secara langsung di TV3 seperti yang disarankan oleh Guan Eng pada tarikh dan masa yang dipersetujui oleh kedua-dua pendebat," katanya.

Sebelum ini, Abdul Rahman dalam catatan Twitternya berkata:

"Saya menyambut baik debat umum mengenai (tanah) Taman Manggis itu. Pegawai saya akan hubungi pihak anda (YAB Ketua Menteri) untuk menyelesaikan butiran yang perlu."

"Debat itu akan membolehkan rakyat Pulau Pinang mengetahui fakta dan kebenaran di sebalik skandal Taman Manggis," Abdul Rahman dipetik sebagai berkata.

Sehubungan itu Lim pada Khamis lalu menyatakan kesediaan untuk berdebat dengan anggota parlimen Kota Belud itu mengenai perkara tersebut, malah mahukan acara itu disiarkan secara langsung melalui TV3.

BN sebelum ini mendakwa kerajaan negeri Pulau Pinang yang dipimpin DAP menjual tanah Taman Manggis sedangkan tanah itu telah diperuntuk bagi pembinaan rumah mampu milik.


Tiada ulasan: