Sabtu, 9 April 2016

Tun M: OSA bukan untuk lindungi jenayah

Tun Dr Mahathir Mohamad


SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 bukan untuk melindungi mana-mana pihak melakukan jenayah.

Sebaliknya, beliau percaya akta itu untuk menghukum sesiapa yang membocorkan dokumen kerajaan mengenai polisi, Kabinet dan percukaian.

“Akta ini bagi menghalang individu, syarikat atau kerajaan asing menyalahgunakan maklumat untuk kepentingan mereka.

“Bukannya untuk merahsiakan jenayah yang dilakukan pegawai, pekerja atau individu. Jenayah perlu dilaporkan atau didedahkan oleh sesiapa sahaja yang mengetahuinya,” katanya melalui catatan terkini di blognya, chedet.cc, hari ini.

Naib Presiden PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam atas dua pertuduhan memiliki dan mendedahkan dokumen rahsia rasmi tanpa kebenaran, dua minggu lalu.

Rafizi didawa ada dalam milikannya halaman 98 Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tanpa kebenaran sah serta tidak berhak menyimpannya dan kemudiannya mendedahkannya pada sidang media di lobi Parlimen.

Mengulas lanjut, Tun Mahathir mendakwa Peguam Negara sebaliknya melihat jenayah dilakukan anggota kerajaan adalah rahsia kerajaan yang perlu disembunyikan dari umum.

“Sesiapa yang melaporkannya akan didakwa melanggar OSA,” katanya.


Tiada ulasan: