Ahad, 10 April 2016

Tulisan jawi sebati dengan Tok Kiew

Tulisan jawi sebati dengan Tok Kiew
Tok Kiew mampu menulis tulisan jawi dengan lancar serta membacanya dengan fasih. Gambar kanan: Tulisan jawi yang ditulis tangan oleh Tok Kiew.
 


MACHANG - Orangnya cukup mesra dan peramah. Jika ingin membeli barangan keperluan dapur, serah sahaja senarai barangan yang diinginkan dan semuanya akan disiapkan untuk anda.

Namun, jangan terkejut sekiranya terlihat senarai barangan yang dihulurkan ditulis dalam tulisan jawi dan diterima dengan senyuman oleh Kang Tok Kiew.

Tok Kiew, 72, atau lebih mesra disapa Mek dalam kalangan pelanggannya, bukan sahaja mampu membaca tulisan jawi, tetapi mampu menulisnya dengan lancar.

Baginya, tulisan jawi sudah sebati dalam jiwanya malah langsung tidak kekok menulisnya, sekalipun dia mempelajari tulisan itu pada usia enam tahun.

Mek berkata, tulisan jawi adalah perkara wajib pada zamannya jika ingin belajar di sekolah rakyat dan dia menganggapnya sebagai kelebihan sekalipun tidak beragama Islam.

Bergaul dengan orang Melayu

“Saya tinggal berdekatan kampung orang Melayu dan bergaul mesra dengan mereka. Bila buka sekolah rakyat, saya cukup teruja untuk ke sekolah yang terletak di Kampung Gondang, dekat Kemubu itu.

Mujurlah mak menyokong hasrat saya dan saya merupakan satu-satunya pelajar perempuan Cina di sekolah itu.

“Bagi saya, ia bukan halangan sebab saya dah kenal ramai pelajar Melayu yang lain sejak dari awal. Pada waktu itu, saya cukup gembira dapat ke sekolah  dan untuk menguasai pelajaran yang diajar, kita perlu mahir tulisan jawi,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kedainya di Pasar Machang, di sini.

Berasal dari Kampung Tok Kong, dekat Keterah, Mek berkata, dia mula menguasai tulisan jawi sejak usia sembilan tahun dalam usaha memastikan dia dapat mengikuti pelajaran yang diajar.

Katanya, selain belajar di sekolah, dia juga gigih membuat latihan di rumah bagi memastikan dia dapat menguasai jawi dengan cepat.

Tambahnya, jawi adalah bahasa pengantar utama pada ketika itu dan dia memilih sekolah rakyat biarpun ada dalam kalangan kaumnya yang mengadakan kelas-kelas pelajaran secara peribadi, melibatkan kumpulan kecil di rumah.

Tidak boleh kuasai bahasa Mandarin

“Sekolah Cina ada, tetapi di Tumpat, jauh sangat, tak boleh nak pergi, jadi saya selesa dengan sekolah rakyat. Lagipun saya memang dah biasa bergaul dengan orang Melayu.

“Saya juga boleh menguasai bahasa Melayu, malangnya tidak bahasa Mandarin. Bahasa itu jarang digunakan dan saya juga tidak diajar menulis dan membacanya,” katanya yang kini menetap di Kampung Chekok Tok Chuba, dekat sini.

Menurut Mek, dia juga selesa membaca akhbar Melayu dan banyak menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan sehariannya, memandangkan sebahagian besar pelanggannya adalah Melayu.

Katanya, dia mula berniaga di pasar itu sejak 1983 dan kekal hingga kini, sekalipun pasar telah berpindah tempat.

Tambah Mek, dalam keluarganya, hanya dia dan seorang abangnya mampu menulis dan membaca tulisan jawi dan tidak diwarisi oleh ahli keluarga yang lain.

“Saya juga sukakan baju kebaya dan sehingga kini masih mempunyai beberapa pasang pakaian itu dan dipakai ketika majlis keramaian. Jiwa saya dengan orang Melayu terlalu dekat, malah langsung tidak kekok untuk bersama-sama dalam apa sahaja majlis atau acara.

“Suasana yang harmoni itu masih segar dalam kehidupan rakyat terutamanya di Kelantan, sekalipun kami berbeza agama, adat dan budaya,” katanya.


Tiada ulasan: