Isnin, 4 April 2016

Tuduh Deklarasi Rakyat tak berperlembagaan: Ku Li mudah lupa

Lim Kit Siang

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: ‘Deklarasi Rakyat’ adalah tuntutan untuk mengembalikan semula prinsip asas demokrasi dan kedaulatan undang-undang berdasarkan Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963 secara aman lagi demokratik.

Justeru, mengatakan ia adalah tidak berperlembagaan sebagaimana dakwaan semberono Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, adalah tidak benar dan dangkal semata-mata.

“Tidak ada apa yang salah atau tidak berperlembagaan atau tidak demokratik mendesak seseorang Perdana Menteri meletak jawatan, sama ada di Malaysia atau di mana-mana negara dalam dunia yang mempraktikkan demokrasi berparlimen.

“Negara seperti Australia, United Kingdom, New Zealand, Kanada, India malah Amerika Syarikat juga mendesak perdana menteri atau presiden mereka meletak jawatan,” kata Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu berkata, sekiranya desakan untuk meletak jawatan ketua eksekutif sesebuah negara itu kuat, jelas dan mustahak, maka, kehendak demokrasi dan rakyat perlulah diutamakan melalui perlembagaan sedia ada sama ada meletak jawatan secara sukarela atau undi tidak percaya.

Selanjutnya kata beliau, “Deklarasi Rakyat” juga komited kepada sebuah proses yang aman, tanpa kekerasan, demokratik seperti mana terkandung dalam empat tuntutan asasnya iaitu:

1) Penyingkiran Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia menerusi saluran yang aman dan mengikut undang-undang yang dibenarkan
2) Penyingkiran semua mereka yang bersekongkol dengannya
3) Pemansuhan semua undang-undang dan perjanjian baru yang Jelas melanggar hak asasi yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan dan melemahkan polisi terpilih, dan
4) Pemulihan integriti institusi yang telah dilemahkan, seperti polis, SPRM, Bank Negara dan PAC.

Katanya, “Deklarasi Rakyat” yang dilancarkan 4 Mac lalu malahan untuk mengembalikan negara kepada prinsip Perlembagaan Merdeka 1957 dan Perlembagaan Malaysia 1963 terhadap demokrasi, kedaulatan undang-undang, asas kebebasan dan doktrin pengasingan kuasa seperti yang terkandung dalam perenggan ke 37 deklarasi itu.

“Deklarasi Rakyat perenggan ke-37 menyatakan: Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia, tidak mengira kaum, agama, politik, kepercayaan atau parti, tua atau muda, marilah bersama-sama kami selamatkan Malaysia daripada Kerajaan yang dipimpin Datuk Seri Najib untuk membuka jalan kepada mereformasikan institusi demi proses demokrasi dan memulihkan prinsip pengasingan kuasa di antara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang akan memastikan kebebasan, kredibiliti, profesionalisme serta integrity institusi-institusi nasional.

“Apa yang dinyatakan dalam Deklarasi Rakyay perenggan akhir ke-37 ini sebenarnya adalah kesimpulan dan inti dalam ucapan-ucapan yang pernah dibuat oleh Tengku Razaleigh sendiri sepanjang dekad kerjaya politiknya,” kata beliau. – Roketkini.com


Tiada ulasan: