AMPANG JAYA: Polis menembak mati tiga penjenayah dipercayai suspek kes
samun bersenjata dalam satu serbuan di sebuah blok tinggal Kondominium
Highland Towers di sini, pagi tadi.
Bagaimanapun, tiga lagi rakan mereka berjaya meloloskan diri dalam
serbuan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor
bersama polis daerah Ampang, kira-kira jam 5 pagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Adnan Abdullah, berkata
penjenayah berkenaan dikesan menjadikan sebuah bilik kosong di tingkat
1, blok C kondominium berkenaan sebagai tempat persembunyian sebelum
melakukan samun.
"Kami percaya mereka merancang untuk melakukan samun ke atas sebuah
kediaman berhampiran, sebelum hasil risikan berjaya mengesan semua enam
suspek berada di situ, jam 12.30 tengah malam tadi.
"Berikutan itu, satu operasi dirancang untuk menangkap mereka namun
ketika serbuan, mereka cuba melarikan diri ke arah hutan di bahagian
belakang kondominium menyebabkan kami terpaksa melepaskan beberapa das
tembakan dan mengenai tiga daripada mereka," katanya pada sidang media
di lokasi, sebentar tadi.
Adnan berkata, pemeriksaan menemui satu pistol angin, sebilah parang
serta celorek dan beberapa alat mengumpil, topeng muka dan sarung tangan
di lokasi berkenaan.
"Kumpulan ini yang aktif sejak lebih dua tahun lalu dipercayai terbabit
sekurang-kurangnya dengan 26 kes samun di sekitar Selangor membabitkan
kerugian RM545,900.
"Buat masa ini, kami belum dapat memastikan identiti mereka kerana
tiada dokumen pengenalan diri ditemui, namun suspek yang ditembak mati
dianggarkan berusia dalam lingkungan 30-an," katanya.
Beliau berkata, polis kini menggerakkan operasi memburu baki tiga lagi
suspek yang melarikan diri ke kawasan hutan Bukit Antarabangsa dengan
bantuan Polis Gerakan Am (PGA) dan Unit Anjing Pengesan (K9).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan