Isnin, 4 April 2016

Tidak hadir himpunan, PAS ada inisiatif tersendiri tolak GST - Khairuddin

 Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar

 
Post Pic
 
 
 
SHAH ALAM: Setiausaha PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman berkata parti itu mempunyai strategi tersendiri bagi menolak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).
 
Khairuddin berkata demikian mengulas ketidakhadiran pimpinan PAS di Himpunan Tolak GST yang diadakan di Dataran Merdeka, petang semalam.
 
"Kita tidak 'one-off', pergi berhimpun kemudian balik tidur. Sebagaimana menurut Pesuruhjaya PAS Selangor (Datuk Iskandar Abdul Samad) tindakan menentang GST adalah menerusi kawasan-kawasan.
 
"Tidak ada arahan (pimpinan pusat) untuk tidak hadir. Kita tidak hadir tidak bermakna kita tidak menentang GST, sebaliknya kita ada cara kita tersendiri. Kerana prinsipnya kita tidak bersetuju dengan GST," katanya kepada Antarapos, hari ini.
 
Khairuddin mengambil contoh pendekatan yang diambil Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad yang mengadakan program menolak cukai GST itu secara terus kepada masyarakat.
 
Ini ujarya sekaligus menolak andaian ketiadaan wakil parti itu di himpunan semalam seolah-olah 'merestui' tindakan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).
 
"Pesuruhjaya PAS Selangor terlebih dahulu membuat himpunan menentang GST pada Jumaat di sebuah masjid di DUN Chempaka. Kata-kata (dakwaan PAS sokong GST) tidak betul, apa sahaja kaedah yang membebankan rakyat kita tidak bersetuju," katanya lagi.
 
Pakatan Harapan (PH) semalam menganjurkan Himpunan Tolak GST sempena setahun pelaksanaannya.
 
Demonstrasi jalanan itu bertumpu di Dataran Merdeka selepas empat lokasi utama Masjid Jamek Kampung Baru, Pasar Seni, Jalan Sultan dan Kompleks Beli Belah SOGO dijadikan tempat berkumpul peserta dan pemimpin pembangkang.
 
Bagaimanapun himpunan tersebut dilihat gagal apabila jumlah kehadiran peserta hanya sekitar 2,000 orang meskipun mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hadir memberi ucapan sebelum himpunan ditamatkan.
 
Selepas setahun cukai GST diperkenalkan, pembangkang masih menolak pelaksanaannya walaupun terbukti kutipan cukai itu benar-benar membantu mengukuhkan kedudukan kewangan negara di kala harga minyak dunia jatuh merudum.
 
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata pihak kastam berjaya mengutip hasil lebih RM51 bilion sejak pelaksanaan GST, berbanding kutipan RM37.2 bilion pada 2014 tanpa GST.
 
Kutipan itu yang lebih tinggi daripada jangkaan asal itu membolehkan kerajaan menghadapi ketidaktentuan ekonomi dunia pada masa ini,
 
 

Tiada ulasan: