Jumaat, 15 April 2016

Tambahan 11 DUN baru untuk majukan luar bandar- Adenan

Sebelum ini PKR Sarawak memfailkan semakan kehakiman bagi menghalang persempadanan semula yang melahirkan sebelas DUN baru tersebut.


Adenan-Satem_spr_600


LUNDU: Tambahan sebelas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) baru, kebanyakannya di luar bandar adalah untuk memajukan lagi kawasan tersebut yang masih ketinggalan, kata Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem.

Berucap dalam satu acara di sini hari ini, beliau memaklumkan sembilan daripada sebelas kerusi baru itu terletak di luar bandar.

“Saya minta Suruhanjaya (SPR) tambah (sebelas kerusi) sebab ini negeri besar, sama dengan semenanjung. Dan kebanyakan kerusi bertumpu di kawasan luar bandar memandangkan ia lebih mundur dari kawasan bandar,” katanya lagi di hadapan kira-kira 3000 hadirin.

Menerusi penambahan DUN ini, beliau percaya kawasan luar bandar akan lebih giat dimajukan berbanding sebelumnya.

Sebelas kerusi tersebut adalah Batu Kitang, Stakan, Serembu, Bukit Semuja, Gedong, Kabong, Tellian, Bukit Goram, Murum, Samalaju dan Mulu.

Sebelum ini, Adun Batu Lintang See Chee How dan seorang pengundi Ulu Baram, Pauls Baya berusaha menghalang persempadanan semula yang melahirkan sebelas DUN baru tersebut dengan membuat semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuching.

Kes tersebut kemudian dibawa ke Mahkamah Persekutuan yang pada 15 Oktober lalu menolak permohonan tersebut.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Tan Sri Md Raus Sharif memutuskan notis SPR berhubung persempadanan semula DUN Sarawak sebagai sah.

Tiada ulasan: