Ahad, 17 April 2016

Sudah sampai masa jawatankuasa harga barang ditubuh

SINAR HARIAN


FOMCA


KUALA LUMPUR - Sudah tiba masanya jawatankuasa khas mengenai harga barang diwujudkan di negara ini bagi mengekang peniaga menaikkan harga sesuka hati, kata Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca).

Naib Presidennya, Siti Rahayu Zakaria berkata, jawatankuasa khas itu penting dalam menyelaras dasar dan program pelbagai kementerian dan agensi terlibat bagi memantau peniaga yang tidak bertanggungjawab.
 
Beliau berkata, Fomca telah menghantar kertas cadangan mengenai perkara itu kepada kerajaan pada Februari lepas, berikutan peningkatan aduan mengenai kenaikan harga barangan yang membebankan rakyat.
  
"Kami tidak mahu pengguna terus menjadi mangsa kepada peniaga dalam keadaan ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup yang semakin meningkat ini," katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Katanya, golongan peniaga lazimnya dilihat menaikkan harga barangan setiap kali kerajaan mengumumkan pemberian bonus, pelarasan gaji atau elaun kepada penjawat awam.
  
Siti Rahayu berkata, peniaga juga sering menggunakan alasan kekurangan stok untuk menaikkan harga barang.

"Maka penubuhan jawatankuasa ini penting dalam mengambil langkah lebih efektif, lebih-lebih lagi ketika kerajaan beri pelarasan gaji atau ketika musim perayaan," katanya.
  
Pakar ekonomi Prof Dr Barjoyai Bardai turut menyokong penubuhan jawatankuasa khas berkenaan bagi membela pengguna yang semakin menerima kesan daripada sikap tidak bertanggungjawab peniaga.

Beliau berkata, jawatankuasa khas tersebut mampu membantu kementerian dan agensi bertanggungjawab melancarkan lagi proses penguatkuasaan terhadap golongan peniaga.
  
Selain itu, katanya pengguna juga perlu memainkan peranan dalam menyalurkan maklumat kepada pihak berwajib jika mendapati ada peniaga menaikkan harga khususnya barang kawalan.
  
Anggota Jawatankuasa Kluster Ekonomi dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Samsinar Md Sidin berkata, pengguna perlu bijak berbelanja dengan membuat perbandingan harga barang sebelum membeli.

"Jika kita membeli barang yang dijual dengan harga yang mahal, seolah-olah kita menyokong peniaga menaikkan harga barang sesuka hati," katanya yang juga Timbalan Naib Canselor Bahagian Akademik dan Hal Ehwal Pelajar Universiti Tun Abdul Razak. - Bernama


Tiada ulasan: