Jumaat, 22 April 2016

SU KBS, tiga individu didakwa 191 pertuduhan

FREE MALAYSIA TODAY


Mereka menghadapi pertuduhan berhubung aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16,623,000.

kbs_law_600


KUALA LUMPUR: Setiausaha Bahagian Kewangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan tiga individu termasuk sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas 191 pertuduhan berhubung aktiviti pengubahan wang haram berjumlah RM16,623,000.

Pada 31 Mac lepas, Otman Arsahd, yang kini digantung tugas mengaku tidak bersalah atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta.

Hari ini, Otman bersama Halmi Khalid dan Abdul Gafar Abdurahiman serta isterinya Siti Rohanah Hussien, mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail, Hakim Mohd Nasir Nordin dan Hakim Sohaini Alias.

Otman, 57, menghadapi 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank dan RHB melalui cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Dis 2015.

Abdul Gafar, 42, iaitu pengarah syarikat peralatan sukan di bawah KBS, dan isterinya seorang surirumah, Siti Rohanah, 42, masing-masing didakwa atas 63 pertuduhan memindahkan sejumlah wang berjumlah RM15,723,000 yang merupakan hasil daripada aktiviti haram menerusi 63 transaksi dari akaun bank tiga syarikat milik mereka ke akaun bank milik Otman bagi tempoh masa sama.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya, Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja Laut.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA) yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFAPUAA) yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun atau boleh didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Halmi, 35, pengarah syarikat pembekal barangan sukan di bawah KBS didakwa atas satu pertuduhan iaitu memindahkan wang RM900,000 ke dalam akaun bank milik Otman di RHB Bank Plaza Damas 3, Sri Hartamas di sini pada 10 Dis 2015 mengikut Seksyen 4(1)(b) AMLATFAPUAA 2001.

Hakim Allaudeen membenarkan Otman diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Halmi dibenarkan ikat jamin RM60,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 31 Mei untuk sebutan semula.

Sementara Hakim Mohd Nasir dan Hakim Sohaini membenarkan Abdul Gafar dan Siti Rohanah masing-masing diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 24 Mei untuk sebutan semula kes.

Hakim turut memerintah mereka menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi yang mengendalikan kesemua kes menawarkan jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan untuk setiap tertuduh dengan mengambil kira jumlah wang yang terlibat serta memohon syarat tambahan iaitu pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Fahmi Abd Moin mewakili Otman, Ridha Abdah Subri mewakili Halmi, manakala peguam Wan Azmir Wan Majid bertindak bagi pihak Abdul Gafar dan Siti Rohanah, memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guam mereka tidak berkemampuan selain akaun dan aset mereka dibekukan.

Terdahulu semasa sebutan semula kes Otman yang didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu itu, Hakim Allaudeen menetapkan 20 hari untuk perbicaraan bermula 19 Sept depan.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Amir Nasruddin memaklumkan 35 saksi akan dipanggil pada perbicaraan itu.– BERNAMA

Tiada ulasan: