GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang
menafikan mengepung Balai Polis Air Itam, sebelum menahan lima anggota
yang bertugas di balai itu dalam satu serbuan pada awal pagi kelmarin,
sebagaimana dilaporkan media.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk M Samarajoo berkata, serbuan itu
berlandaskan undang-undang sedia ada dan mengikut prosedur operasi
standard (SOP) yang ditetapkan pihaknya.
“Pegawai SPRM yang terlibat dalam operasi itu tidak mengepung balai
polis berkenaan atau bertindak kasar terhadap anggota polis yang ditahan
itu, sebaliknya mereka (SPRM) masuk melalui pintu utama balai.
“Pegawai SPRM turut memperkenalkan diri dan mengemukakan kad kuasa di
polis balai itu, sebelum menahan lima anggota berkenaan,” katanya.
Beberapa media menerusi laman web hari ini melaporkan, SPRM Pulau
Pinang terpaksa mengepung balai polis itu, sebelum menahan lima anggota
yang dipercayai terbabit kes rasuah.
Menurut laporan media itu, dalam serbuan jam 3 pagi Sabtu itu, kesemua
mereka yang ditahan dipercayai terbabit dalam rasuah melibatkan jumlah
wang yang besar.
Samarajoo berkata, tidak berlaku sebarang pergelutan semasa penahanan
lima anggota, termasuk seorang wanita itu, sebaliknya mereka semua
memberi kerjasama yang baik.
“Ada beberapa media (dalam talian) melaporkan SPRM mengepung balai itu
terlebih dahulu semasa serbuan berkenaan, sehingga ia menjadi viral di
laman sosial dan memberi persepsi buruk kepada kami serta polis.
“Sebenarnya, langsung tidak timbul perkara itu dan serbuan berkenaan
juga adalah operasi biasa yang dilakukan SPRM, selepas mendapat aduan.
“Ia juga bukan satu operasi khas yang dirancang secara khusus,” katanya.
Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi
berhubung kes itu dan memberi ruang kepada pihaknya menjalankan siasatan
kes di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Dalam serbuan itu, SPRM menahan lima anggota berusia 20 hingga 40
tahun, terdiri daripada seorang anggota berpangkat koperal, tiga lans
koperal dan seorang anggota wanita berpangkat konstabel.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan