Jumaat, 22 April 2016

Speaker DUN Selangor dihalau daripada masuk ke Sarawak

Hannah Yeoh dihalau daripada masuk ke Sarawak

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Hannah Yeoh Tseow Suan, kesal dan kecewa dengan tindakan kerajaan negeri Sarawak melarang beliau masuk ke negeri itu untuk menghadiri majlis keagamaan di sana.

Sejurus selepas beliau tiba di Lapangan Terbang Sibu pagi tadi, Hannah dipaksa oleh pegawai Imigresen untuk pulang dengan pesawat yang sama, walaupun beliau telah menempah tiket dengan syarikat penerbangan lain.

Dengan itu, bukan saja beliau dihalau keluar dari Sarawak, beliau juga terpaksa membeli tiket penerbangan MAS yang berharga RM1,013.35 untuk pulang ke Kuala Lumpur pada lewat pagi itu juga.

Hannah Yeoh dihalau daripada masuk ke Sarawak

“Saya tidak faham mengapa saya dihalang masuk ke Sarawak dan disekat dari menghadiri majlis keagamaan di sana. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak kebebasan beragama saya.

“Apabila saya cuba menunjukkan surat jemputan itu kepada pegawai di Lapangan Terbang Sibu, mereka menolak dan terus-terusan menggesa saya pulang pada waktu itu juga.

“Benarkah kita mempunyai kebebasan beragama di Malaysia?” katanya kepada Roketkini sejurus beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, tengah hari tadi.

Hannah ke Sarawak atas jemputan sebuah gereja tempatan di Sibu bagi menghadiri acara keagamaan yang akan berlangsung malam ini, malah beberapa paderi telah menunggu ketibaan beliau di lapangan terbang.

“Saya meminta Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, menyatakan dengan jelas sebab saya dilarang masuk ke negeri tersebut.

“Saya tidak diberi apa-apa notis oleh pegawai di lapangan terbang tentang larangan itu. Malah, apabila saya bertanya kepada mereka mengapa saya disekat, mereka hanya berkata “Maaf, Puan. Ini atas arahan pihak berkuasa Sarawak,” katanya.

Menurut Hannah yang juga Adun DAP Subang Jaya itu, beliau terkesan dengan sekatan berkenaan memandangkan beliau yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan jenayah sehingga dilayan sebegitu rupa oleh kerajaan negeri.

“Bagaimana mungkin saya ini berbahaya kepada penduduk Sarawak? Saya seorang Speaker DUN dan wakil rakyat, bermakna saya tidak boleh mempunyai apa-apa rekod jenayah.

“Lagipun, saya terlibat dalam menganjurkan makan malam mengumpul dana di Selangor untuk membina kemudahan asas untuk golongan miskin di Sarawak. Jadi, adakah saya ini satu ancaman kepada rakyat Sarawak?

“Jika undang-undang Imigresen boleh digunakan sesuka hati oleh kerajaan negeri terhadap seorang pegawai kerajaan seperti saya, bagaimana pula dengan rakyat Malaysia yang lain?” katanya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: