Ahad, 17 April 2016

Skandal 1MDB: Semua nama disenarai dalam laporan PAC perlu didakwa

tony_rafizi


Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Semakin banyak penyelewengan dan salah laku dikesan dalam aktiviti kewangan syarikat milik Kementerian Kewangan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dibentangkan pada 7 April lalu.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua, berkata ia merupakan sebab utama mengapa beliau dan empat lagi anggota PAC dari parti pembangkang bersetuju agar laporan itu dibentangkan walaupun ia masih tidak mencapai keputusan secara menyeluruh.

“Bagi saya dan anggota PAC dari parti pembangkang yang lain, sudah ada cukup bukti untuk mula mendakwa pihak terlibat dalam skandal 1MDB walaupun laporan itu masih belum menyeluruh, sebab itu kami bersetuju ia dibentangkan.

“Contohnya, ada banyak transaksi dan pelaburan yang tak dapat dikesan oleh Jabatan Audit Negara sehingga hari ini, termasuk USD1.03 bilion kepada Good Star Limited dan USD3.51 bilion kepada Aabar Investment PJS Limited.

“Dengan membentangkan laporan itu, sekarang rakyat dapat lebih banyak pendedahan tentang semua penyelewengan tersebut,” katanya dalam Forum ‘PAC 1MDB: Najib – Bersubahat atau tidak bersalah’ di Shah Alam, malam tadi.

Tony yang juga ahli PAC turut mendakwa bahawa nama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak dibenarkan dibangkitkan dan dikaitkan dengan isu 1MDB dalam mesyuarat PAC.

“Wakil pembangkang lima orang, nak lawan majoriti sembilan orang dari BN bukan senang. Saya sebut nama Najib saja dalam mesyuarat, semua pun mula buat kecoh (bantah),” katanya.

Sementara itu, Naib Pengerusi PKR, Rafizi Ramli yang turut menjadi ahli panel forum berkenaan berkata, rakyat perlu mencabar untuk memastikan Najib serta pihak berkuasa tidak terus menyalahgunakan undang-undang untuk menutup bukti berkaitan 1MDB, terutama Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Selepas ini, mungkin lebih banyak dokumen diklasifikasikan bawah OSA. Kita juga perlu cabar keputusan Najib untuk mengklasifikasi laporan Audit Negara tentang skandal 1MDB ini bawah OSA.

Ketua Audit Negara tak ada kuasa klasifikasi mana-mana dokumen bawah OSA, hanya menteri ada kuasa. Soalnya, menteri mana?” katanya.

Selain itu, beliau turut bersetuju dengan Tony bahawa semua individu yang dinamakan dalam laporan PAC sebagai terlibat dengan 1MDB perlu didakwa kerana mereka telah gagal menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh rakyat untuk memelihara dana awam.

“Lembaga Pengarah bertanggungjawab menjaga urusan kewangan 1MDB kerana ia adalah syarikat awam. Mungkin mereka tak curi duit, tetapi atas kecuaian dan kelalaian mereka, mereka tetap boleh dihadapkan ke mahkamah.

“Ini mesej saya kepada sesetengah orang yang dinamakan dengan jelas dalam laporan PAC, selepas ini kita akan mengeluarkan satu Senarai Rakyat Dikehendaki. Jika tidak boleh dapatkan orang di atas (Najib), kita buru semua yang lindungi dia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa semua pihak mesti menggesa agar beberapa urus niaga melibatkan 1MDB dihentikan, seperti penjualan Bandar Malaysia oleh 1MDB kepada Konsortium Iskandar Malaysia Holdings-China Railway Engineering Corp (IWH-CREC) agar wang rakyat berhenti disalahguna.

“Semasa sidang Parlimen lepas, kerajaan akui bahawa mereka belum ada apa-apa notis mengenai pembelian Tabung Haji di Bandar Malaysia. Oleh itu, kita sebagai rakyat dan pendeposit Tabung Haji, ada hak minta Tabung Haji berhenti beri duit kepada 1MDB,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: