Ahad, 17 April 2016

Skandal 1MDB: Selain CEO dan pegawai, Najib turut bertanggungjawab

lim kit siang

Oleh Syazana Hasanudin


KUALA LUMPUR: Laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dibentangkan sebelum ini menunjukkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bertanggungjawab atas segala penyelewengan dan salah urus dalam syarikat itu.

Ia berikutan penemuan laporan itu bahawa bukan sahaja bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi serta pegawai dalaman bertanggungjawab atas segala penyelewengan 1MDB, tetapi ada pihak yang lebih berkuasa membuat segala keputusan dalam syarikat itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata mengikut Artikel 117 dalam Memorandum dan Artikel Persatuan (M&A) 1MDB, Perdana Menteri merupakan pihak terpenting dalam meluluskan segala dokumen berkaitan syarikat tersebut.

“Artikel 117 menghendaki semua keputusan penting syarikat yang melibatkan komitmen kewangan, termasuk pelaburan dan penyusunan semula untuk mempunyai kebenaran bertulis dari Perdana Menteri.

“Ia bermakna Perdana Menteri merupakan pemain terpenting dalam 1MDB, melebihi peranan Lembaga Penasihat, Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi syarikat,” katanya semasa memberi ucapan di ‘Forum PAC 1MDB: Najib – Bersubahat atau tidak bersalah” anjuran Pakatan Harapan di Shah Alam semalam.

Justeru, katanya, Shahrol bukanlah satu-satunya pihak yang harus didakwa berhubung skandal dan penyelewengan oleh 1MDB, tetapi Najib turut bertanggungjawab atas segala salah urus dan ketirisan yang berlaku dalam syarikat tersebut.

“Bagaimana PAC boleh meletakkan sepenuh kesalahan kepada Shahrol apabila Najib yang juga Penasihat 1MDB merupakan individu yang bertanggungjawab meluluskan semua dokumen 1MDB termasuk pelaburan menurut Artikel 117?” katanya.

Selain itu, katanya, PAC perlu membuka semula siasatan dengan mengambil kira pendedahan terbaru bahawa Aabar Investment PJS Limited milik International Petroleum Investment Company (IPIC) di Abu Dhabi menafikan telah menerima USD3.5 bilion melalui Aabar BVI.

“Dengan pendedahan IPIC itu, kini kita tahu bahawa Aabar BVI merupakan syarikat palsu. Malah, Bursa Saham London menyatakan bahawa Aabar BVI ialah sebuah syarikat yang perlu diragui kewujudannya.

“Sebelum ini, pihak UMNO-BN selalu mengatakan bahawa segala pendedahan Wall Street Journal, Sarawak report atau ahli politik pembangkang kononnya ingin memburuk-burukkan Najib. Tetapi, kini kita dapat lihat bahawa semua pendedahan itu benar,” katanya.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah turut menggesa PAC memanggil semua saksi yang terlibat dengan skandal 1MDB, termasuk Jho Lo, Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Aziz, bekas Ketua Peguam Negara Tan Sri Gani Patail serta Najib sendiri bagi membantu siasatan.

“PAC perlu bergabung semula dalam mesyuarat tergempar serta mengemukakan laporan PAC yang telah disemak semula agar laporan itu nanti dapat dibentangkan di Parlimen apabila ia bersidang semula pada 16 Mei nanti,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: