Jumaat, 8 April 2016

Situasi tak memungkinkan tukar MB Johor menjadi

Dr Mohd Izani Mohd Zain

 


ULASAN Usaha menukar menteri besar Johor tidak akan memberi banyak manfaat kepada Umno kerana apa yang sewajarnya menjadi keutamaan ialah memperkukuh kekuatan parti dan mendengar suara akar umbi.

Pertembungan elit politik dalam Umno tidak sepatutnya mengheret parti itu menimbulkan lebih banyak isu yang akhirnya boleh memecah belahkan dan melemahkan parti.

Umno Johor adalah benteng kekuatan Umno dan itu perlu dipertahankan. Manakalah Datuk Khaled Nordin adalah aset Umno.

Beliau antara pemimpin Umno yang rasional serta prihatin dengan lantang bercakap soal masa depan Umno dan mengakui perlunya parti itu bijak merancang arus perubahan politik.

Tahun lalu, beliau telah melancarkan badan pemikir, iaitu Bait Al Amanah yang dimiliki sepenuhnya oleh Umno Johor sebagai sumber rujukan bagi meneroka dasar-dasar baharu, merekayasa dasar sedia ada dan menyusun strategik lebih berkesan dalam perjuangan Umno.

Penubuhan Bait Al Amanah ini satu langkah strategik dalam usaha menarik penyertaan kumpulan profesional dan muda untuk menyertai Umno.

Ini jelas membuktikan Khaled mempunyai visi dan misi untuk memperkukuh kedudukan Umno dan bukan sebaliknya.

Setelah tiga tahun dilantik sebagai menteri besar, Khaled telah menunjukkan komitmen tinggi untuk membangunkan Johor sebagai negeri contoh yang mempunyai pelan pembangunan tersendiri.
Kurang main politik

Ini boleh dilihat melalui gagasan Muafakat Johor, Johor Berkemajuan dan agenda pembangunan inklusif dalam memastikan pembangunan Johor benar-benar dirasai oleh rakyat.

Pengalaman Khaled yang pernah menjawat menteri pembangunan keusahawanan dan koperasi dan menteri pengajian tinggi adalah kekuatan beliau menerajui Johor.

Pengalaman beliau dalam konteks keusahawanan dan pengajian tinggi sebelum ini menjadi asas dan kekuatan beliau untuk memimpin Johor.

Kekuatan Umno tidak harus dipandang dalam soal politik dan kuasa semata-mata.

Akan tetapi, melihat kepada peranan dan sumbangan kepada kesejahteraan rakyat. Bukankah kekuatan Umno selama ini adalah baktinya kepada rakyat.

Khaled adalah seorang ahli politik yang matang dan sentiasa mendahului rakyat dengan pelbagai dasar dan perancangan yang baik untuk rakyat Johor.

Khaled sentiasa memastikan hubungan yang baik antara Johor dan kerajaan Persekutuan walaupun harus diakui terdapat cabaran dan pengaruh seperti kewujudan tokoh politik daripada Johor, iaitu mantan timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kerajaan Johor pimpinan Umno Johor dan Khaled khususnya sentiasa memberi platform kepada kerajaan pusat terutama perdana menteri untuk memastikan sokongan terhadap Umno dan PM sentiasa baik dan boleh diperkukuhkan.

Kehadiran PM ke majlis projek pembangunan Forest City pada Mac yang lalu membuktikan Johor sentiasa bekerjasama dengan kerajaan pusat dan PM sendiri.

Kesimpulannya, usaha menukar atau menggulingkan MB Johor adalah tidak relevan dan membawa lebih banyak keburukan kepada Umno dan rakyat.

Umno mesti mengekalkan pemimpin yang kurang bermain politik tetapi mempunyai pemikiran dan idea yang strategik untuk membangunkan negara.

Lebih-lebih lagi, hubungan yang baik antara Khaled dan sultan Johor tidak memungkinkan pertukaran MB boleh menjadi kenyataan.

PROFESOR MADYA DR MOHD IZANI MOHD ZAIN seorang warga Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).


Tiada ulasan: