Ahad, 24 April 2016

Shamsul Iskandar dihalang masuk ke Sarawak kali kedua

Shamsul Iskandar Mohd Akin
Shamsul Iskandar Mohd Akin


SHAH ALAM – Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin mengkritik tindakan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem yang enggan membenarkan beliau memasuki Sarawak.

Menurut Shamsul, ia merupakan kali kedua beliau dihalang daripada memasuki negeri Bumi Kenyalang itu sejak menjelangnya musim Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Shamsul yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 3.55 petang terpaksa diterbangkan semula ke Kuala Lumpur pada petang yang sama akibat halangan tersebut.

“Saya ditahan hampir 3 jam di Pejabat Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching sebelum diterbangkan semula ke Kuala Lumpur pada jam 6.25 petang.

“Kali pertama pada 2 April yang lalu di mana kemudiannya saya dibenarkan masuk,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Shamsul berkata, halangan ke atas beliau juga bertentangan dengan hak warganegara di bawah Perkara 9 Perlembagaan Persekutuan untuk bergerak secara bebas.

Beliau juga turut menyerahkan notis rasmi penolakan kemasukan beliau ke Sarawak.

“Halangan kemasukan ini saya tegaskan dan merupakan penyalahgunaan kuasa Imigresen seperti yang termaktub dalam Perjanjian 18 Perkara tentunya dalam konteks menjalankan aktiviti politik yang sah.

“Saya yakin tindakan ini bermotifkan politik memandangkan ianya terlalu hampir dengan hari penamaan calon. Sebelum ini saya langsung tidak bermasalah untuk masuk ke negeri Kenyalang ini,” katanya lagi.

Sebelum ini beberapa pemimpin pembangkang telah dihalang memasuki Sarawak atas pelbagai alasan.

Mereka adalah Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Tian Chua; Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin; Pengarah Pilihan Raya PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; ahli Parlimen Subang R Sivarasa; ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Turut menerima nasib sama adalah Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

Akta Imigresen Sarawak membenarkan negeri itu membuat keputusan itu atas apa-apa alasan.

Akta Imigresen 1959/63 di Sabah dan Sarawak adalah di bawah kuasa kerajaan negeri


Tiada ulasan: