Isnin, 18 April 2016

Seruan Selangor berjimat air wuduk

Oleh Subky Latif




APAKAH justeru ancaman kurang bekalan air terutama di Selangor gara-gara kemarau el-Nino, maka Menteri Besar, saudaraku dalam Islam Datuk Seri Azmin Ali menyeru supaya masjid dan surau berhemat dan berjimat air wuduk?

Berhemat air itu tentunya bukan semasa berwuduk di musim kemarau teruk saja, tetapi ia adalah amalan yang baik dalam semua perkara dan dalam semua musim. Hatta dalam masa banjir yang air melimpah ruah, mangsa banjir juga mesti berjimat kerana kehabisan air bersih mengundang padah. Anda tidak cemas kerana ditenggelami air tapi cemas putus bekalan air.

Apakah rugi sangat negeri kalau banyak air digunakan untuk wuduk? Atau mungkin ada yang menempelak penggunaan berlebihan air untuk wuduk demi sentiasa suci dan mendekatkan diri dengan Allah hendak berkira sangat sedang lain-lain pembaziran air tidak peduli sangat?

Saya tidak tahu apakah Azmin membuat seruan kerana kerugian kebendaan, tetapi saya mengiranya ia adalah seruan suci.

Mengambil wuduk adalah ibadat. Sempurna wuduk mengikut hadis sahih tidak sekadar meratakan air pada anggota wuduk, tetapi dengan menggunakan air sejimat-jimatnya. Pesan Nabi itu kerana takut habis air di tempat air kurang, malah berwuduk dalam kolam atau dalam sungai pun dilarang mengguna air berlebihan.

Padahal tiadalah luak air di kolam dan di sungai sebanyak mana jua air digunakan. Air yang digunakan itu jatuh ke sungai juga. Tetapi ia adalah cara Allah hendak mengingat orang supaya memanfatkan sekadar secukupnya dan diperlukan.

Eloknya wuduk tidak sekadar untuk solat saja tetapi memastikan memelihara wuduk semua masa adalah yang terbaik. Ada yang sebaik batal wuduk segera berwuduk semula. Maka dia menggunakan air lagi. Lebih penggunaan air justeru memelihara wuduk tidak dilarang. Yang dilarang berlebihan air setiap kali berwuduk.

Pertambahan penduduk yang pesat, membiaknya ternakan, pentingnya memelihara kehijauan taman dan persekitaran rumah bagi mendapat bekalan oksigen yang cukup, tumbuhnya kilang di sana sini, semuanya memerlukan air, maka air perlu dijimatkan termasuk seruan berwuduk.

Semasa Nabi memberi ingatan itu, air tidak berbayar. Di Asia Tenggara orang berwuduk di sungai, telaga, kolam dan di parit. Masjid dan surau menggunakan kolah. Rumah-rumah menyediakan tempayan besar bagi menakung air bersih bagi kegunaan orang tidak terdaya turun ke telaga.

Teknologi yang maju sekarang menghapus kegunaan kolah, telaga dan kolam melainkan kolam di rumah mewah. Bekalan air ada di setiap bilik. Dengan keperluan air yang bertambah dan teknologi kian canggih, semuanya tak cermat dan tidak jimat. Air jadi bahan bazir. Pertambahan penduduk mengundang krisis air sekalipun di luar kemarau.

Mungkin masa mengajak kita kembali ke zaman masjid surau menggunakan kolah semula. Tidaklah kolah menggantikan pemakaian paip. Tetap kolah sebagai suplemen kepada kepala paip tentu dapat menjimat air wuduk.

Mungkin timbul isu air kolah bertakung berkeladak. Mungkin ada isu kebersihan air dan kesihatan pengguna. Tetapi teknologi canggih membersihkan air kolam tentu boleh diguna di kolah supaya air kolah sentiasa suci lagi menyucikan.

Bukankah Islam itu bersaudara. Air wuduk yang tumpah semula ke kolah digunakan sama sendiri untuk wuduk masing-masing mengikut kaedah dan zaman kitaran semula, mungkin dapat menerapkan persaudaraan sama sendiri. Apabila bersaudara kuranglah perpecahan.

Berjimat wuduk di masjid bukan sekadar menyelamatkan banyak air, tetapi mengikut sunnah Nabi semasa berwuduk.

Tiada ulasan: