Isnin, 18 April 2016

Seorang pelajar UTeM peluk Islam depan Dr Zakir

MALAYSIA DATELINE


Dr Zakir NaikDr Zakir NaikSelepas mendalami agama Islam selama tiga tahun, seorang pelajar jurusan Kejuruteraan Eletronik Komunikasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan pendakwah Islam antarabangsa, Dr Zakir Naik malam tadi.

Ia turut disaksikan oleh kira-kira 20,000 orang hadirin yang berada dalam forum bertajuk 'Islam- Problem and Solution to Humanity' yang disampaikan Dr Zakir di universiti berkenaan lapor portal media Malaysiakini.

Senkiran Dharma, 24, melafazkan kalimah syahadah itu selepas menerima penerangan berhubung persoalannya mengenai Islam daripada Dr Zakir.

Malah, ketika ditemui pemberita, Senkiran yang sebelum ini menganut agama Hindu memberitahu bahawa tindakannya untuk menukar agama itu dilakukan dengan rela hati tanpa dipaksa mana-mana pihak.

"Saya sudah mempelajari Islam sejak lebih tiga tahun lalu, namun selepas menunggu selama 24 tahun, saya akhirnya menerima hidayah untuk memeluk Islam," katanya.

Selepas mengucap dua kalimah syahadah, Senkiran kemudian menitiskan air mata. Beliau juga selepas itu menerima senaskah al-Quran daripada Zakir sambil diiringi laungan takbir.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

Jumaat lalu, di Terengganu, seorang remaja yang dikenali sebagai Woo Nina Grace, 19 memeluk agama Islam di hadapan Dr Zakir.

Selepas itu, seramai empat lagi individu yang memeluk Islam semasa syarahan Dr Zakir di Stadium Hoki Bukit Jalil Sabtu lalu.

Dr Zakir: Saya ke sini untuk keharmonian kaum

Pendakwah Islam antarabangsa Dr Zakir Naik menegaskan bahawa beliau datang ke sini untuk keharmonian kaum.

"Saya ke sini (Malaysia) untuk keharmonian kaum. Saya sangat tahu dengan undang-undang kerana saya peguam Islam," katanya.

Oleh itu, tegasnya, beliau juga tidak takut walaupun gerakan hak asasi manusia Hindu, Hindraf, membuat laporan polis berhubung kehadirannya ke negara ini.

Dr Zakir menjelaskan, ia kerana beliau hanya takutkan kepada Allah dan bukannya manusia.

"Saya telah pergi ke banyak negara. Menurut Islam, kita tidak boleh memaksa seseorang untuk menukar agama.

"Saya takut pada tuhan, Allah. Saya tidak takut kepada manusia," katanya yang turut memetik beberapa ayat al-Quran dalam forum yang bertajuk 'Islam - Problem and Solution to Humanity'.

Beliau berkata demikian sebelum mengIslamkan seorang pelajar bernama Kevin yang sebelum itu bertanyakan tentang mengapa hanya orang yang beragama Islam masuk syurga walaupun agama lain mempunyai 'kepercayaan' yang hampir sama dengan Islam.

Selain itu, menjawab soalan daripada seorang pelajar yang dikenali sebagai Jack yang bertanya tentang Islam, Dr Zakir turut menjelaskan tentang niatnya sebelum ini yang mahukan tajuk forum di universiti tersebut tentang persamaan antara agama Islam dan Hindu.

Penceramah yang terkenal dengan isu perbandingan agama itu menceritakan, ketika beliau menggunakan tajuk sama untuk berceramah di negara lain, kemarahan yang dibangkitkan ialah tidak mungkin ada persamaan antara dua agama berkenaan dan mereka memarahi beliau dan bukan tajuk tersebut.

Sebelum ini, pihak polis mengarahkan supaya ceramah di UTeM dibatalkan bagi mengelakkan melindungi sensitiviti agama di negara ini.

Bagaimanapun, kerajaan kemudian membenarkan ceramah tersebut dengan menetapkan syarat supaya tajuk yang digunakan sebelum ini- 'Similarities between Islam and Hinduism' ditukar.

Tiada ulasan: