Isnin, 4 April 2016

Selagi ada bulan dan matahari, MARA akan terus memartabatkan Melayu dan Bumiputera - Ismail Sabri

Mariah Ahmad, Astro Awani 
 
Selagi ada bulan dan matahari, MARA akan terus memartabatkan Melayu dan Bumiputera - Ismail Sabri
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Sambutan Perdana 50 Tahun Majlis Amanah Rakyat (MARA) hari ini. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR: Selagi ada bulan dan matahari, Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan terus memperjuangkan martabat masyarakat Melayu dan Bumiputera, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, sepanjang 50 tahun penubuhan MARA, institusi itu telah berjaya memainkan peranannya dalam menyumbang kepada pembinaan negara, dengan jumlah penerima manfaat telah mencecah lebih dua juta orang melalui program keusahawanan, pendidikan dan pelaburan.

Beliau juga berkata MARA telah melahirkan hampir sejuta usahawan dalam pelbagai bidang, yang menyumbang kepada kekayaan bumiputera.

"Dalam konteks pembangunan usahawan, hampir 700,000 orang telah dibangunkan melalui pelbagai program seperti latihan, pembangunan standard perniagaan, serta pemasaran dan penjenamaan," katanya dalam ucapan pada Majlis Sambutan Perdana 50 Tahun MARA di Dewan Utama, MENARA MARA di sini, hari ini.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Sementara itu Ismail juga berkata pelbagai pendekatan berani telah dilakukan MARA dalam melahirkan ahli korporat,  dan pemimpin masa hadapan yang cemerlang akademik dan sahsiah diri, antaranya dengan melaksanakan program Ulul Albab dalam Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

"Program Ulul Albab diwujudkan pada 2009, yang kini telah melahirkan 875 Hafiz Al-Quran. MARA juga telah menyumbangkan kepada 300,000 guna tenaga mahir dan separa mahir dalam pelbagai industri kritikal melalui Laluan Teknikal dan Vokasional (TVET) MARA," tambah beliau.
Ismail juga menambah, bagi Malaysia untuk menjadi negara maju, lebih 60%  tenaga mahir diperlukan dan MARA telah berjaya menghasilkan lebih 30% tenaga kerja penting untuk kelangsungan pembangunan ekonomi dan sosial negara. 
 
 

Tiada ulasan: