Ahad, 17 April 2016

Sekat saya, benarkan yang lain masuk S'wak, kata LGE

Bede Hong

  


Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini menawarkan untuk bertukar kebenaran masuk ke Sarawak dengan wakil rakyat pembangkang yang dilarang ke negeri itu.

Ketua menteri Pulau Pinang itu berkata, kerajaan negeri itu sepatutnya mengenakan larangan terhadapnya, dan membenarkan wakil pembangkang yang lain, termasuk dua ahli exco kerajaan Pulau Pinang.

"Bagaimana dengan semua pemimpin kita yang lain? Jika nak sekat, sekat saya dan benarkan pemimpin PKR dan DAP yang lain masuk. Saya fikir itu satu pertukaran yang baik," katanya kepada pemberita di sidang akhbar yang dihadiri pemimpin DAP di Kuching hari ini.

Katanya, terdapat begitu ramai lagi yang disifatkannya sebagai 'jeneral' parti yang tidak dibenarkan masuk.
Lim berkata, mungkin hanya 'ketua pemerintah' dibenarkan masuk "tetapi tanpa jeneral bagaimana kita boleh melawan".

Ini ekoran Lim dibenarkan memasuki Sarawak, walaupun ramai ahli pembangkang dilarang ke negeri itu, menjelang pilihan raya pada 7 Mei.

Lim berkata beliau tidak merayu kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem untuk dibenarkan masuk, tetapi berspekulasi bahawa beliau dibenarkan berbuat demikian kerana ada penelitian ramai sama ada beliau akan dihalang.

DAP berkata sekurang-kurangnya sepuluh daripada pemimpinnya dilarang ke Sarawak termasuk Ahli Parlimen Petaling Jaya dan Setiausaha Publisiti parti Tony Pua, yang dihantar pulang setibanya di Lapangan Terbang Miri September lalu.

Pegawai imigresen memaklumkan kepada parti itu pada 2014 bahawa MP Seputeh dan yang juga naib pengerusi DAP, Teresa Kok juga termasuk dalam senarai larangan itu.

Lim juga berspekulasi bahawa pemimpin dari Semenanjung juga dihalang kerana mereka mungkin membangkitkan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Anda boleh mengatakan bahawa ini adalah pilihan raya negeri tetapi anda tidak boleh menafikan bahawa GST memberi kesan kepada rakyat Sarawak lebih daripada mana-mana dasar kerajaan negeri yang lain," katanya.

Walaupun Sarawak mempunyai kuasa imigresen mengikut Perjanjian Malaysia 1963, Lim berkata undang-undang itu tidak membenarkan larangan ke atas individu masuk untuk aktiviti politik yang sah.

"Saya ingin tegaskan di sini bahawa kami menyokong kuasa imigresen yang diberi kepada kerajaan negeri Sarawak. Kami menyokong kuasa itu, tetapi ia tidak boleh disalahgunakan.

"Kuasa seperti ini adalah untuk melindungi kepentingan Sarawak, bukan untuk melindungi kepentingan BN," kata Lim.

Beliau berkata pemimpin BN dari Semenanjung Malaysia dibenarkan memasuki tanpa sebarang isu, termasuk Naib Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang tiba di Sarawak semalam.

"Dan di pihak kami, anda hanya ada satu (Lim). Jadi, tidak ada padang permainan yang sama rata.

"Kami berjuang dengan tangan dan kaki kami terikat, hanya tinggal mulut kami terbuka. Dan mungkin mereka akan tutup mulut kami tidak lama lagi."

Lim juga tidak menolak kemungkinan beliau mungkin dilarang memasuki Sarawak selepas hari penamaan calon pada 25 April.

Beliau juga menegaskan bahawa Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud tidak melarang pemimpin pembangkang memasuki Sarawak sewaktu 33 tahun tempoh pentadbirannya sebagai ketua menteri.

"Ini menunjukkan bahawa lebih banyak kuasa yang anda berikan (Adenan), beliau menjadi lebih autokratik," kata Lim sambil menamabh bahawa itulah sebabnya penting untuk menafikan BN satu kemenangan yang mutlak.

Beliau juga mengumumkan DAP akan bertanding 29 daripada 82 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri Sarawak, iaitu:

1- Tasik Biru;
2- Padungan;
3- Pending;
4- Kota Sentosa;
5- Batu Kawah;

6- Stakan;
7- Mambong;
8- Kedup;
9- Bukit Semuja;
10- Simanggang;

11- Repok;
12- Meradong;
13- Pakan;
14- Ngemah;
15- Bukit Assek;

16- Dudong;
17- Bawang Assan;
18- Pelawan;
19- Pelagus;
20- Katibas;

21- Baleh;
22- Murum;
23- Tanjong Batu;
24- Kemena;
25- Samalaju;

26- Piasau;
27- Pujut;
28- Senadin; dan
29- Mulu.

Tiada ulasan: