Isnin, 25 April 2016

"Saya Tidak Kejar Pangkat" - Kata Pekerja Kepada Pemilik Rayani Air

Oleh: IWAN SHU-ASWAD SHUAIB
 
 
Pengurus Stesyen Rayani Air KLIA2 Zulkalnain Azdan (tengah) menunjukkan laporan polis pada sidang media kakitangan Rayani Air berkenaan tunggakan gaji dan isu caruman KWSP di Bandar Baru Salak Tinggi pada Jumaat lalu.
 
 
PETALING JAYA: "Saya tidak mengejar pangkat. Saya lebih selesa dengan jawatan sekarang," kata Pengurus Stesen Rayani Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), Zulkalnain Azdan, 46.

Beliau berkata demikian berhubung tawaran untuk mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Rayani Air yang kini disandang oleh pemilik syarikat penerbangan itu, Ravi Alagendrran.

Zulkalnain yang merupakan bekas tentera dan berpengalaman dalam industri penerbangan selama 15 tahun berkata, beliau bekerja berdasarkan pengalaman dan berkongsi pengalaman itu untuk membangunkan syarikat.

"Yang duduk di atas iaitu CEO, biarlah pemilik syarikat kerana dia yang perlu tahu dan bertanggungjawab terhadap sumber kewangan serta pengurusannya.

"Tetapi saya mahu kami semua termasuk Ravi bersama-sama bekerja untuk memajukan Rayani Air dan Ravi perlu melihat kebolehan saya bersama kakitangan lain yang mempunyai banyak pengalaman dalam industri penerbangan, katanya kepada mStar Online.

Pada Isnin, mStar Online melaporkan Ravi tampil menawarkan jawatan CEO yang disandangnya kepada Zulkalnain bagi mengambil alih pengurusan operasi penerbangan patuh syariah itu.

Malah, Ravi turut sedia melepaskan 100 peratus pegangan saham kepada pelabur baharu yang sedang berunding dengan pihak Zulkalnain.

Walaupun keputusan Ravi melepaskan 100 peratus pegangan saham disambut baik, tetapi Zulkalnain berpendapat adalah lebih baik sekiranya pemilik syarikat itu menjadi pemegang minoriti saham.

Jelas Zulkalnain, keputusan Ravi untuk meninggalkan Rayani Air bukan tindakan bijak dan tidak membantu untuk membersihkan namanya sebagai peneraju syarikat penerbangan itu yang ketika ini dihimpit masalah dan kontroversi.

"Kalau Ravi jual 100 peratus saham kepada orang lain tanpa dia berada dalam syarikat, ia lebih memalukan. Jika dia tinggalkan syarikat, ia merupakan kegagalan dia sebagai ahli perniagaan.

"Jadi, biarlah Ravi melepaskan majoriti saham, tetapi masih berada dalam syarikat bagi melihat kemajuan syarikat dan bekerjasama dengan para pekerja serta memperbaiki kesilapan lalu," katanya.

Ravi bagaimanapun meletakkan ‘tiga syarat’ untuk membolehkan beliau melepaskan jawatan CEO dan 100 peratus pegangan saham.

Tiga syarat tersebut ialah pelabur yang diuruskan Zulkalnain perlu memenuhi sejumlah dana yang dipersetujui, menguruskan segala liabiliti termasuk melunaskan tunggakan gaji pekerja, dan mengambil semua kakitangan pada masa ini sebagai pekerja bagi meneruskan operasi syarikat penerbangan itu.

Zulkalnain yang diminta mengulas mengenai tiga syarat itu berkata, beliau bersetuju dengan kesemuanya bagi memastikan Rayani Air beroperasi semula.

"Apapun, saya berharap nilai pegangan saham yang hendak dijual Ravi adalah berpatutan demi menyelamatkan Rayani Air," katanya yang mengakui sedang berunding dengan beberapa pelabur.

Rayani Air yang memulakan operasi sejak Disember lalu merupakan syarikat penerbangan yang pertama di Malaysia beroperasi berlandaskan patuh syariah.

Pada 11 April lalu, Jabatan Penerbangan Awam (DCA) mengeluarkan arahan pergantungan sementara Sijil Operator Udara Rayani Air selama tiga bulan.

Tiada ulasan: