Rabu, 13 April 2016

Saya Tidak 'Gali Kubur Sendiri' - Pesuruhjaya PAS Sarawak



 
DETIK DAILY


PETALING JAYA: Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee yakin mampu memberikan tentangan kepada calon parti lawan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pujut pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 akan datang.

Mengakui berhadapan risiko apabila bertanding di kerusi majoriti pengundi Cina, Jofri bagaimanapun berkata PAS membuat pertimbangan yang realistik apabila mempertaruhkan calon beragama Islam di kerusi berkenaan.

"Kita bukan saja suka-suka letak calon di sesuatu kawasan tanpa mengambil kira penerimaan pengundi.

"Segala faktor termasuk komposisi kaum dan dan agama telah diambil kira. Malah ia juga sebagai signal bahawa PAS terbuka untuk semua tanpa mengira latar belakang agama mahupun kaum," katanya ketika dihubungi mStar Online di sini, Selasa.

Jofri, 51, yang berasal dari Bintulu pertama kali diberi kepercayaan bertanding dalam pilihan raya.

Berhubung persoalan sama ada keputusan PAS meletakkan beliau selaku pemimpin nombor satu di Sarawak untuk bertanding di DUN Pujut sebagai langkah sia-sia, Jofri bagaimanapun menolak persepsi itu.

"Saya bukan calon bunuh diri...saya tak gali kubur sendiri. Ada sebab mengapa parti menaruh kepercayaan kepada saya untuk bertanding di Pujut.

"Kawasan ini bukan baharu bagi saya, penduduk di sini juga mengenali saya dengan baik. InsyaAllah PAS boleh memberi saingan di Pujut," katanya.

Pada PRN 2011 kerusi DUN Pujut di menangi Fong Pau Teck di bawah tiket DAP dengan majoriti 3,849 undi selepas memperoleh 9,120 undi berbanding calon BN-SUPP, Andy Chia yang memperolehi 5,271 undi.

Bagaimanapun pada 2013 Fong dipecat daripada DAP atas masalah disiplin dan kekal sebagai wakil rakyat bebas sehingga DUN Sarawak dibubarkan pada 11 April lalu.

Mengulas lanjut mengenai peluangnya di kerusi DUN Pujut, Jofri berkata masalah dalaman yang dihadapi Barisan Nasional (BN) dan parti serpihannya bakal memberi kelebihan kepada PAS.

"BN sebelum ini meletakkan wakil Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). Tapi parti itu sudah berpecah dan khabarnya serpihan mereka iaitu Parti Rakyat Bersatu (UPP) turut berminat bertanding di sana.

"Saya percaya DAP juga akan letakkan calon mereka. Jadi jika penyandang yang kini wakil rakyat bebas turut bertanding, pecahan undi akan berlaku," katanya.


Tiada ulasan: