Jumaat, 8 April 2016

‘Saya silap kira, bukan RM42 bilion tapi...’

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad


PETALING JAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau tersilap sebelum ini apabila mendakwa sejumlah RM42 bilion telah hilang dari akaun 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sebaliknya, beliau berkata, laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) ternyata mendapati jumlah yang jauh lebih besar iaitu RM50 bilion.

"Laporan PAC sebut bukan RM42 bilion tetapi RM50 bilion. Jauh lebih banyak, maka saya silap sebab sebelum ini saya nyatakan jumlah yang lebih kecil.

"Saya rasa RM50 bilion ini juga tidak betul, mungkin lebih dari itu," katanya ketika ditemui selepas menghadiri dialog Deklarasi Rakyat: Realiti atau Fantasi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam blognya semalam bahawa laporan PAC yang diumumkan membuktikan tuduhan Mahathir terhadap 1MDB selama ini adalah tidak benar.

[ARTIKEL BERKAITAN: RM42 bilion tidak hilang daripada 1MDB]

Ketika ditanya mengenai laporan PAC yang meminta bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim disiasat, Mahathir berkata, Najib sebagai pengasas 1MDB merupakan individu yang sepatutnya bertanggungjawab terhadap syarikat itu.

"Saya simpati dengan (bekas) CEO, bukan dia yang tubuhkan 1MDB. 1MDB dimulakan oleh Najib dan dia penasihatnya.

"Semua yang berlaku kepada 1MDB dia patut tahu. Sebenarnya tiada apa boleh dilakukan tanpa persetujuan Najib, jadi kenapa hukum lelaki ini (Shahrol)," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keputusan Lembaga Pengarah 1MDB yang menawarkan untuk meletakkan jawatan, Mahathir berkata, 1MDB perlu dibubarkan secara keseluruhannya.

"Mereka langsung tidak buat apa-apa yang baik. Tunjuk kepada saya di mana RM42 bilion itu. Ia di sini dan di sana tetapi kita tidak nampak," dakwanya.

Dalam perkembangan lain, ditanya berhubung penahanan Rafizi Ramli, beliau mendakwa ia sebagai satu usaha untuk menghalang Ahli Parlimen Pandan itu daripada bercakap.

"Rafizi ini dia tak serik bercakap dalam Parlimen, jadi dua tiga hari ini simpan dia dulu lah (dalam penjara) supaya dia tak boleh bercakap," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI


Tiada ulasan: