Jumaat, 15 April 2016

'Saya sedia dipenjara, tapi yang lain pun akan ikut saya'

Alyaa Alhadjri  




Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli menyatakan bahawa beliau bersedia untuk dihukum penjara kerana mendedahkan dokumen yang diklasifikasikan berkaitan dengan firma dana milik negara 1MDB tetapi menegaskan bahawa ramai lagi akan bersamanya di penjara.

Rafizi berikrar untuk 'mengheret bersama' semua individu yang didakwa melindungi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada bertanggungjawab di atas kerugian besar dana awam yang melibatkan 1MDB.

Katanya, beliau bersedia sepenuhnya untuk ke penjara tetapi menegaskan bahawa bukan dia seorang sahaja yang akan masuk ke dalam.

Rafizi berkata, jika terpaksa ke penjara, beliau akan mengheret bersama semua orang yang terlibat.

Minggu lepas ahli Parlimen Pandan itu mengaku tidak bersalah terhadap dua tuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Berdasarkan hasil laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai 1MDB, Rafizi memberitahu satu forum Pakatan Harapan di Shah Alam malam tadi bahawa Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy boleh didakwa menghalang keadilan.

Beliau berkata Arul tentunya tahu isu-isu yang melanda 1MDB kerana beliau adalah ketua pegawai eksekutif syarikat itu semasa proses audit terkini syarikat.

Sebagai mesejnya kepada mereka yang dengan jelas dinamakan dalam laporan PAC, Rafizi berkata, tidak lama lagi "kita akan mengeluarkan senarai rakyat yang dikehendaki'."

Katanya, jika anda tidak boleh mendapatkan orang di atas, anda cari orang yang melindungi mereka.

Tiada ulasan: